Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tingkap pejabat SPRM ditutup, kata saksi
Diterbitkan:  Apr 25, 2011 9:03 PM
Dikemaskini: 1:05 PM

Suruhanjaya untuk menyiasat kematian Teoh Beng Hock hari ini diberitahu bahawa tingkap di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ditutup pada malam Teoh berada di pejabat itu sebelum beliau ditemui mati.

 

Penolong Penguatkuasa Khairul Anuar Alias berkata beliau adalah orang terakhir yang merokok berhampiran tingkap yang berkedudukan selari dengan mayat Teoh dan menutupnya pada pukul 11 malam 15 Julai 2008.

 

Katanya tingkap itu juga mempunyai pemegang dan keadaan tingkap tersebut pada waktu itu berbeza daripada yang dilihat selepas kematian Teoh.

 

"Ada pemegang kunci waktu itu. Ia masih baik. Saya merokok bersama tiga pegawai SPRM pada masa itu dan pemegang kunci tidak patah (seperti ditunjukkan dalam gambar), katanya.

 

Dalam prosiding lalu pegawai penyiasat ASP Ahmad Nazri memberitahu tingkap yang selari dengan mayat Teoh berada dalam keadaan terbuka dan pemegang tingkap itu mengalami kerosakan.

 

Teoh, 30, setiausaha politik exco Selangor Ean Yong Hian Wah, ditemui mati di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor pada 16 Julai 2009 selepas memberi kenyataan di pejabat SPRM yang terletak di tingkat 14 bangunan itu.

 

Khairul berkata beliau tidak memberitahu polis sebelum ini berkenaan tingkap tersebut kerana tidak disoal walaupun memberi kenyataan sebanyak tiga kali selepas kematian Teoh.

 

Selain itu Khairul yang turut disoal berkaitan aduan polis yang menyatakan beliau mendera suspek berkata sehingga kini tiada sebarang sabitan dikenakan ke atasnya.

 

Sambil tersenyum lebar, Khairul menafikan tuduhan T Sivanesan bahawa beliau telah ditampar, ditumbuk di seluruh badan, dirotan di bahagian kemaluan dan dibelasah dengan menggunakan besi.

 

Katanya kesemua dakwaan Sivanesan adalah fitnah dan Khairul menyoal siasat Sivanesan secara bergilir-gilir di sofa sahaja dan sepanjang pengetahuannya tiada pegawai SPRM yang memukul Sivanesan.

Khairul bagaimanapun tidak menafikan bahawa beliau pernah dipanggil pihak polis untuk kawad cam sebanyak lima kali bagi aduan kes berbeza.

 

Selain itu Khairul juga memberitahu bahawa beliau melihat Teoh berada dalam keadaan mundar-mandir di tepi sofa pada pukul 10 malam dan 12 malam.

Sementara itu sepanjang bersidang bermula 14 Februari lalu, suruhanjaya memanggil saksi paling ramai hari ini iaitu sebanyak 10 saksi yang terdiri daripada tujuh pegawai SPRM dan tiga pegawai syarikat telekomunikasi.

Perbicaraan disambung esok.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS