Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pakar: Salur subsidi pada kumpulan yang betul
Diterbitkan:  May 24, 2011 11:09 AM
Dikemaskini: 3:11 AM

Kerajaan harus memulakan langkah-langkah proaktif bagi memastikan golongan miskin dan berpendapatan rendah tidak terjerumus ke kancah kemiskinan yang teruk sebaik sahaja rasionalisasi subsidi dilaksanakan.

    

Jaringan sosial yang disasar dan ditadbir dalam bentuk pindahan pendapatan terus, elaun kos hidup atau sistem baucar bagi barangan yang terlibat adalah antara kemungkinan langkah-langkah tersebut, kata ketua ekonomi kumpulan RAM Holdings Bhd, Dr Yeah Kim Leng.

    

"Bagi tempoh jangka panjang, ia hanya melalui pendidikan, latihan dan peluang peningkatan pendapatan yang efektif yang akan membolehkan golongan miskin keluar daripada perangkap kemiskinan dan inflasi," katanya kepada Bernama dalam satu temubual hari ini.

    

Beliau berkata sekiranya penyelarasan harga dibandingkan dengan negara-negara lain, terutamanya dalam kumpulan berpendapatan rendah dan sederhana, tindak balas kerajaan Malaysia terhadap kejutan harga komoditi dan tenaga global tidak begitu serius, disebabkan terutamanya negara memiliki sumber semulajadi yang banyak.

    

Meskipun penurunan subsidi, harga runcit barangan boleh dimakan utama seperti beras, tepung, gula, minyak masak, dan barangan bukan makanan seperti petrol dan gas memasak, kekal di bawah harga pasaran, perbezaan yang diserap kerajaan menerusi sistem subsidi.  

    

"Terdapat justifikasi ekonomi dan sosial yang kukuh bagi mengekalkan subsidi tetapi ia sepatutnya tidak berada pada tahap yang membahayakan kekuatan kewangan kerajaan serta keupayaan ekonomi untuk menangani kenaikan seterusnya harga," kata Dr Yeah.

    

Beliau mengingatkan rakyat akan kesan negatif sekiranya entiti komersil di bawah kerajaan seperti Petronas dan Tenaga Nasional, terus menanggung bebanan besar bagi mengekalkan subsidi kepada rakyat.

    

- Bernama

ADS