Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PM hadiri Forum Ekonomi Islam di Kazakhtan
Diterbitkan:  Jun 5, 2011 4:29 PM
Dikemaskini: 9:13 AM

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan melakukan lawatan rasmi ke Kazakhstan dari 5 hingga 6 Jun atas jemputan Presiden Nursultan Nazarbayev.

Najib, yang akan turut menghadiri Forum Ekonomi Islam Dunia kali ketujuh (WIEF ke-7) di Astana dari 7 hingga 9 Jun, akan diiringi oleh beberapa menteri Kabinet termasuk Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Para pegawai kanan dari pejabat Perdana Menteri, Kementerian Luar dan kementerian serta agensi lain yang berkaitan akan turut menyertai delegasi berkenaan.

Menurut kenyataan Wisma Putra, lawatan itu menggambarkan inisiatif berterusan oleh Malaysia untuk membangunkan hubungan dua hala merangkumi pelbagai bidang yang membawa manfaat bersama dengan Kazakhstan.

"Lawatan ini turut menyediakan peluang untuk mengukuhkan kerjasama rapat antara kedua-dua negara selain menggalakkan kerjasama dan dialog yang bermakna dalam kalangan negara membangun, khususnya anggota Pertubuhan Persidangan Islam (OIC)," menurut kenyataan itu.

Ini merupakan lawatan rasmi pertama Najib ke Kazakhstan selepas menjadi Perdana Menteri.

Semasa lawatan itu, Najib dijadual mengadakan kunjungan hormat ke atas Nazarbayev dan mengadakan rundingan dua hala dengan rakan sejawatannya Karim Massimov.

Beliau dijangka berucap pada pembukaan WIEF ke-7 pada 8 Jun.

WIEF adalah forum tahunan yang menghimpunkan pemimpin kerajaan, peneraju industri, cendekiawan akademik, pakar serantau, kalangan profesional dan pengurus korporat untuk membincangkan peluang ke arah perkongsian perniagaan dalam dunia Islam.

Sejak julung kali diadakan pada 2005 di Kuala Lumpur, forum itu kini berkembang sebagai wadah yang penting untuk berdialog dan bertukar idea terkini, serta mewujudkan jaringan perniagaan antara kerajaan dan pemimpin perniagaan di seluruh dunia Islam dan menjangkauinya.

WIEF ke-7 dijangka menjalin kerjasama ekonomi antara komuniti perniagaan Malaysia dan negara lain di dunia menerusi program serta aktiviti yang dianjurkan semasa forum berlangsung.

Lawatan rasmi Najib ke Kazakhstan dan penyertaan beliau dalam WIEF ke-7 akan mengukuhkan hubungan politik yang akrab selain merintis laluan ke arah kerjasama lebih erat antara Malaysia dan Kazakhstan demi manfaat bersama di samping untuk meneroka peluang serta kerjasama ekonomi dengan negara peserta lain dalam forum itu.

--Bernama

ADS