Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bersih 2.0: Fomca kesal kenyataan penasihatnya
Diterbitkan:  Jun 30, 2011 12:00 AM
Dikemaskini: 4:02 PM

Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (Fomca) kesal dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh penasihatnya, Chua Kim Tee mengenai himpunan aman Bersih 2.0.

Kenyataan tersebut tidak sepatutnya dikeluarkan oleh Chua Kim Tee kerana ia bukanlah kenyataan rasmi Fomca, sebaliknya hanyalah kenyataan peribadinya sahaja.

Pengarah Komunikasi Fomca, Mohd Yusof Abdul Rahman yang menghubungi Harakahdaily berkata, Fomca adalah sebuah badan yang berpegang teguh kepada prinsip Perlembagaan Negara, tetapi kenyataan Chua ternyata telah menimbulkan imej negatif kepada pertubuhan itu.

Menurut beliau, sebagai badan yang berpegang kepada prinsip Perlembagaan, kenyataan Chua pasti tidak dipersetujui oleh Fomca kerana Fomca sendiri adalah badan yang berkecuali dengan sebarang pertubuhan politik.

Katanya, Fomca seperti yang diketahui umum adalah badan yang hanya mempunyai kepentingan dengan isu-isu pengguna sahaja dan tanpa memihak kepada sebarang parti-parti politik.

"Namun kenyataan Chua Kim Tee telah menyebabkan orang ramai keliru dengan Fomca yang seolah-oleh seperti Fomca telah memihak kepada parti tertentu, pada hal ia hanyalah kenyataan peribadinya sahaja.

"Sesuai dengan kedudukan Fomca sebagai badan yang berpegang kepada prinsip Perlembagaan, Fomca menyokong penuh kenyataan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) baru-baru yang menggesa kerajaan membenarkan sebarang perhimpunan aman termasuk Himpunan Bersih 2.0 yang akan diadakan 9 Julai ini," katanya.

Semalam, Malaysiakini atas tajuk 'Fomca Mahu Bersih 2.0 Disekat' melaporkan, NGO itu tidak rela perhimpunan Bersih 2.0 diadakan di ibu negara berikutan ia bakal mengundang bala petaka buat golongan peniaga.

Chua berkata, banyak yang akan menerima kesan kerana selain boleh menyebabkan kerugian kepada peniaga, orang ramai di kawasan berhampiran juga terpaksa hidup di dalam kebimbangan.

Justeru, katanya, tindakan tegas wajar diambil kerajaan bagi menyekat penganjuran perhimpunan Bersih yang dirancang pada 9 Julai depan.

Menurut Mohd Yusof, oleh itu, orang ramai diharap tidak tersalah anggap dengan Fomca berhubung dengan kenyataan Chuaitu kerana ia tidak sekali-kali membayangkan pendirian rasmi Fomca.

"Sejak dulu, Fomca sudah dilihat oleh orang ramai sebagai badan yang hanya mempunyai kepentingan dengan isu-su pengguna sahaja, tetapi tidak dalam politik.

"Jika dalam politik, kenyataan yang disokong oleh Fomca hanyalah yang dikeluarkan oleh Suhakam sahaja kerana itulah kenyataan yang selaras dengan pendirian Fomca sejak ditubuhkan dulu yang berpegang kepada prinsip Perlembagaan.

"Sokongan Fomca ke atas kenyataan Suhakam itu kerana perhimpunan yang akan diadakan oleh Bersih pada Himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai nanti adalah perhimpunan aman.

"Jika perhimpunan aman, ia tidak patut disekat oleh kerajaan kerana ia selaras dengan peruntukan yang terdapat dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan yang membenarkan orang ramai mengadakan sebarang perhimpunan aman tanpa senjata bagi menyuarakan pandangan, pendapat untuk kebaikan negara," tegas beliau. 

ADS