Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tindakan boleh diambil pada Astro
Diterbitkan:  Jul 16, 2011 9:35 PM
Dikemaskini: 1:36 PM

Stesen berbayar Astro perlu segera mengatasi gangguan siaran semasa hujan, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Beliau berkata rungutan rakyat mengenai masalah itu telah dimaklumkan kepada stesen televisyen berbayar itu yang berjanji untuk mengatasi masalah berkenaan.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mungkin terpaksa mengambil tindakan 'teknikal' susulan memandangkan masalah itu menyebabkan pelanggan kerugian dari segi minit dan jumlah masa tontonan sedangkan bayaran fi berdasarkan minit siaran.

"Hal ini sedang dikaji oleh Astro dan mereka perlu segera atasinya. Jika berterusan tidak menerima isyarat (semasa siaran) ia merupakan satu ketidakadilan kepada rakyat dan penonton," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program merakyatkan seni budaya anjuran Persatuan Penduduk Ampang Jaya di Kelab Darul Ehsan, di Kuala Lumpur, hari ini.

Rais berkata tindakan undang-undang boleh diambil ke atas Astro antaranya menilai semula bayaran lesen penyiaran bagi syarikat tersebut "atau pun pihak berkenaan perlu memberikan kelonggaran dari sudut bayaran fi."

"Bab itu sedang diteliti oleh penguatkuasa undang-undang," katanya.

    

Berhubung iklan yang didakwa terlalu banyak ditayangkan Astro, Rais berkata, perkara itu sentiasa diberi perhatian oleh SKMM dan setakat ini jumlah minit iklan yang ditayangkan tidak melebihi jumlah ditetapkan.

Beliau berkata kerajaan tidak menghalang penyiaran iklan di Astro kerana ia berlandaskan kepada syarat dalam lesen. Jumlahnya hendaklah tidak lebih daripada 10 minit bagi setiap jam di setiap saluran.

"Tidaklah benar bahawa mereka langsung tidak dibenarkan menayangkan iklan... malah di negara maju juga berlaku perkara serupa di mana mereka hadkan 10 minit bagi setiap sejam rancangan.

"Di Malaysia kita bermula dengan enam ke 10 minit bagi sejam rancangan dan saya yakin pada masa ini SKMM sedang meneliti jumlah minit iklan di Astro agar tidak melebihi had 10 minit yang dibenarkan bagi setiap sejam rancangan," katanya.

Sebelum ini pemantauan SKMM juga menujukkan Astro tidak menayangkan terlalu banyak iklan komersial, malah secara purata masa iklan yang digunakan oleh Astro hanyalah 19 hingga 20 peratus atau 46-50 minit daripada 240 minit masa yang dibenarkan untuk mereka menyiarkan iklan komersial dalam sehari.

--Bernama

ADS