Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
K'jaan Kedah-pengusaha hiburan adakan pertemuan
Diterbitkan:  Jul 16, 2011 10:11 PM
Dikemaskini: 2:14 PM

Pihak pentadbiran kerajaan negeri Kedah akan mengadakan pertemuan dengan pengusaha-pengusaha pusat hiburan bagi membincangkan mekanisme terbaik untuk menyelesaikan isu berhubung larangan mereka beroperasi sepanjang Ramadan ini.

Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata beliau telah bertemu dengan wakil dari Dewan Perhimpunan Cina Kedah hari ini dan kedua pihak bersetuju mengadakan perbincangan bagi memastikan situasi menang-menang.

"Saya akan rujuk perkara ini kepada pentadbiran negeri dan mereka akan adakan pertemuan sama ada esok atau lusa dan timbalan setiausaha kerajaan negeri juga sudah diberi arahan untuk pertimbang penyelesaian supaya semua pihak puas hati.

"Mungkin mereka akan dibenar beroperasi seperti biasa tapi beberapa syarat mungkin dikenakan seperti melarang orang Islam memasuki pusat hiburan itu," katanya ketika ditemui pemberita selepas menerima memorandum daripada Jawatankuasa Penyelaras Pengusaha Hiburan mengenai larangan itu di Mentaloon di Alor Setar hari ini.

Sementara itu, Presiden Dewan Perhimpunan Cina Kedah Datuk Cheng Lai Hock berkata pihaknya amat menghargai kesudian kerajaan negeri untuk mengadakan perbincangan dengan mereka demi membela nasib lebih 6,000 pekerja yang mungkin terjejas sekiranya pusat hiburan ditutup sepanjang Ramadan.

"Kami dah serah memorandum buat rayuan bagi pihak pengusaha supaya dapat diteruskan perniagaan sepanjang Ramadan dan pengusaha juga setuju terima apa-apa arahan kerajaan negeri sekiranya dibenarkan terus beroperasi termasuk melarang orang Islam masuk," kata Cheng.

--Bernama

ADS