Terminal bas Puduraya kini dikenali Pudu Sentral

Terminal Bas Puduraya di Kuala Lumpur yang mula beroperasi pada 1976 dan baru sahaja dinaik taraf, kini dikenali sebagai Pudu Sentral, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan hari ini.

Perdana Menteri berkata penukaran nama terminal bas itu selaras dengan wajahnya yang moden dan baru, setaraf dengan sebuah lapangan terbang.

NONEBeliau berkata keputusan itu dibuat berikutan cadangan seorang pengikut twitternya, selepas beliau tweet setelah bersahur awal pagi tadi bahawa beliau akan melawat Hentian Puduraya.

" Ramai yang memberi maklum balas dan saya terima cadangan supaya nama hentian bas ini ditukar supaya mencerminkan terminal yang tinggi kualitinya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan wajah baru bas terminal itu di Kuala Lumpur hari ini

"Selepas berbincang dengan pihak pengurusan tadi, kita telah bersetuju untuk menukar namanya kepada Pudu Sentral," katanya.

Terminal Puduraya ditutup sementara pada Mac tahun lalu, setahun selepas kerajaan mendapati terminal itu perlu sangat dinaik taraf dan ubahsuai untuk memperbaiki perkhidmatan dan mengambilkira keselamatan awam setelah ia beroperasi lebih tiga dekad.

Ia kini dilengkapi dengan pendingin hawa, kemudahan eskalator dan sistem pengumuman awam untuk mengumumkan ketibaan dan pelepasan bas dan disediakan dengan 296 kamera litar tertutup (CCTV).

CCTV dipasang di semua tempat strategik yang dipantau oleh 48 kakitangan keselamatan untuk memastikan keselamatan dan keselesaan pelawat dan penumpang.

- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.