Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) Tan Sri Alimuddin Mohd Dom pula berkata sudah sampai masanya guru mendapat kenaikan pangkat mengikut kaedah 'time-based' berikutan bilangan guru yang besar iaitu mencecah 400,000 orang.
Bekas Ketua Pengarah Pelajaran itu berkata jika dibandingkan dengan skim perkhidmatan lain, bilangan guru di negara ini adalah ramai menyebabkan peluang kenaikan pangkat terhad.
"Jika dahulu kenaikan pangkat adalah berdasarkan jawatan, jadi peluang untuk mengisi tempat itu terhad. Bilangan orang ramai tetapi tempat sedikit.
"Dengan pengumuman oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini, (guru) boleh dinaikkan pangkat," katanya kepada Bernama.
Langkah itu juga membolehkan guru yang dinaikkan pangkat kekal berkhidmat di sekolah, berbanding sebelum ini ditukarkan ke Kementerian Pelajaran, katanya yang menyifatkan langkah tersebut baik untuk menjaga profesionalisme guru.
Di Kuching, Kesatuan Guru Sarawak (STU) menganggap Belanjawan 2012 sebagai belanjawan prorakyat terutama sekali membabitkan sektor pendidikan.
Presiden STU William Ghani Bina berkata penghapusan bayaran tambahan bagi sekolah rendah dan menengah mulai tahun depan, akan mengurangkan beban kewangan ibu bapa sekali gus memastikan semua kanak-kanak di negara ini terutama di kawasan pedalaman mendapat akses pendidikan.
"Ini akan membawa impak positif kepada sektor pendidikan terutama sekali peluang pendidikan yang kini akan dinikmati semua," katanya.
Beliau berkata kenaikan pangkat guru berdasarkan 'time-based' juga boleh menjadikan sektor pendidikan lebih berkualiti dan berdaya saing.
- Bernama
