Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bekas tahanan gesa S'pura mansuh ISA
Diterbitkan:  Oct 9, 2011 12:32 PM
Dikemaskini: 4:33 AM

Dua bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) berkata Singapura patut memansuhkan undang-undang itu, sepertimana langkah Malaysia yang bercadang memansuhkan ISA di negara itu.

Francis Seow dan Tang Fong Har berkata demikian menerusi telepersidangan pada Sabtu pada forum awam mengenai ISA anjuran Parti Demokratik Singapura dan dihadiri kira-kira 150 orang, menurut laporan stesen televisyen tempatan "Channel NewsAsia".

Ini merupakan kali pertama penentang kerajaan yang kini dalam buangan berkomunikasi dengan penduduk Singapura secara terbuka.

Seow, 83, yang kini tinggal di Amerika Syarikat, telah ditahan pada 1988 selepas dituduh menerima dana daripada Amerika Syarikat untuk menjadi pembangkang yang lebih efektif di Parlimen.

Tang, yang dituduh menjadi anggota dalam konspirasi Marxist dan ditahan pada 1987, berkata undang-undang itu patut dimansuhkan tetapi bukan digantikan dengan yang lebih teruk.

Tang dan Seow mahu kembali ke Singapura. Dipercayai Seow masih warganegara Singapura mankala Tang telah melepaskan kewarganegaraannya pada 2003.   

Malaysia telah mengumumkan ISA, undang-undang penahanan pencegahan, akan dimansuhkan pada Mac tahun depan selepas dua undang-undang baru bagi menggantikannya digubal.

-- Bernama

ADS