Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Johari Baharom: PAS hanya ikut telunjuk DAP, PKR
Diterbitkan:  Oct 17, 2011 9:09 AM
Dikemaskini: 1:15 AM

PAS tidak konsisten dalam perjuangannya untuk menubuh negara Islam apabila dilihat tidak berani bersuara dalam beberapa isu seperti hukum hudud dan murtad, kata ahli parlimen Kubang Pasu Datuk Mohd Johari Baharom.

Beliau berkata parti itu sanggup diperalatkan DAP dan PKR semata-mata untuk kepentingan politik, dan ini menimbulkan tanda tanya sama ada PAS benar-benar ikhlas memperjuangkan kaum Melayu dan agama Islam, atau sekadar mengikut telunjuk pembangkang yang lain.

azlan "Sejak akhir-akhir ini, PAS hanya mendiamkan diri apabila isu kes murtad dan nasib kaum Melayu dibangkitkan, malah parti itu bersikap 'dingin' apabila Umno berhasrat berunding dengan mereka demi perpaduan Melayu dan kepentingan umat Islam," katanya ketika dihubungi Bernama , semalam.

Mengenai hukum hudud, Johari yang juga Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Kedah, berkata PAS sebenarnya tidak mampu melaksanakannya di negeri yang dikuasai seperti di Kelantan dan Kedah.

"Kenapa Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang juga Menteri Besar Kelantan, tidak melaksanakan hukum hudud di negeri berkenaan selepas berjaya menawan negeri berkenaan untuk sekian lama?

"PAS sekarang dilihat terlalu terdesak sehingga membangkitkan isu-isu lama seperti hukum hudud, realitinya Malaysia tidak boleh melaksanakan hukum berkenaan sekarang kerana ia memerlukan pandangan ulama-ulama, golongan pakar dalam perundangan Islam dan pandangan dari bukan Islam," katanya.

Sehubungan itu, Johari meminta PAS menghentikan permainan politik mereka dan kembali kepada perjuangan asal mereka iaitu untuk menegakkan syiar Islam dan tidak hanya mengikut arahan DAP dan PKR semata-mata untuk menang dalam pilihan raya akan datang.

azlan Kenyataan Pengerusi DAP Karpal Singh pada 24 Sept lalu yang menyifatkan Nik Aziz sebagai orang tua yang inginkan perhatian berhubung isu pelaksanaan hukum hudud di Kelantan, jelas menunjukkan PAS dan DAP tidak boleh bekerjasama dalam pakatan pembangkang, katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta PAS menunjukkan pendirian yang jelas dalam isu berkaitan agama Islam dan tidak hanya mendiamkan diri demi mengejar cita-cita politik mereka serta memegang jawatan jika parti itu menang dalam pilihan raya kelak.

- Bernama

ADS