Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pelajar UiTM dinasihat henti tulis tentang Aziz Bari

Seorang mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam dipanggil pihak pentadbiran universiti itu semalam berkaitan tulisan dalam blognya yang "menghentam" Universiti Islam Antarabangsa (UIA) berhubung isu penggantungan tugas Prof Dr Abdul Aziz Bari.

NONE Khalid Mohd Ismath dipanggil oleh timbalan dekan hal ehwal pelajar UiTM tengahari semalam, yang "menasihatkannya" supaya berhenti menulis tentang isu Abdul Aziz dan tidak lagi menghentam pentadbiran UIA.

Khalid ( kiri ) adalah mahasiswa tahun satu Fakulti Undang-undang dan merupakan timbalan presiden Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (KAMI).

"Pihak atasan sudah tahu mengenai perkara ini. Mereka tengah berbincang mengenai tulisan Khalid (itu)," kata sumber yang rapat dengan Khalid.

Menurut sumber itu, dalam tulisan dalam blognya, Khalid menyifatkan penggantungan tugas pakar perlembagaan itu sebagai adalah tidak patut dan mengajak semua pihak turun berdemonstrasi membantahnya Selasa lalu.

Sebelum itu, ratusan pelajar universiti tempatan mengadakan demonstrasi selepas solat Jumaat di UIA membantah penggantungan Dr Aziz Bari.

Bagaimanapun, kira-kira 50 aktivis Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) menukar rancangan untuk berdemonstrasi itu, dengan mengadakan protes secara senyap.

Perkataan 'kurang enak'

Mereka berhimpun di perkarangan masjid kampus berkenaan, dengan menyalakan lilin dan mengangkat beberapa poster antaranya tertulis "Mahasiswa tuntut kebebasan akademik" dan "Bebaskan universiti dari cengkaman politik".

Menurut sumber lagi, Khalid dikatakan menggunakan perkataan yang "kurang enak" terhadap pentadbiran UIA.

azlan Susulan perjumpaan tersebut, sumber berkenaan berkata Khalid akur dengan arahan bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) yang meminta beliau membuang tulisan tersebut.

UIA menggantung tugas Abdul Aziz sebagai pensyarah undang-undang kerana didakwa "memberikan kenyataan yang bertentangan dengan kepentingan universiti".

Beliau diberi masa sehingga 25 Oktober depan untuk menjawab surat tunjuk sebab yang dikeluarkan terhadapnya.

Ia berikutan reaksinya sebelum ini yang mengulas titah Sultan Selangor berhubung isu pemeriksaan sebuah gereja Methodist di Damansara Utama.

Abdul Aziz dipetik berkata, Sultan Selangor sebagai ketua agama negeri mempunyai hak campurtangan tetapi ia perlu selaras dengan ajaran Islam.

Isnin lalu, pihak pentadbiran UIA telah menarik balik penggantungan pakar perlembagaan itu sebagai pensyarahnya berkuatkuasa serta-merta.

ADS