Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Najib nafi projek lembu salah guna pinjaman RM250 juta
Diterbitkan:  Nov 2, 2011 7:26 AM
Dikemaskini: Nov 2, 2011 1:15 AM

Perdana Menteri menafikan dakwaan wujudnya penyalahgunaan dalam pinjaman mudah kerajaan berjumlah RM250 juta yang disalurkan kepada Agroscience Sdn Bhd.     

NONE Datuk Seri Najib Razak yang juga Menteri Kewangan berkata pinjaman itu telah diluluskan kepada National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC) untuk melaksanakan projek Pusat Fidlot Nasional.

Beliau menjelaskan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, yang dipertanggungjawab untuk melaksanakan Pusat Fidlot Nasional, menjemput enam  syarikat untuk mengemukakan cadangan pelaksanaan pembangunan industri daging tempatan dan sekaligus meningkatkan pengeluaran daging lembu tempatan.

Jawatankuasa pemilihan syarikat peneraju, yang ditubuhkan untuk membuat pilihan syarikat yang memberi cadangan terbaik dan berpandu kepada kriteria dikehendaki, telah memilih Agroscience Sdn Bhd, katanya.

Menurut Najib sehingga 31 Julai 2011, jumlah pengeluaran pinjaman kepada NFC ialah sebanyak RM181.9 juta bagi membiayai pembangunan kandang, bangunan, kilang baja, kilang makanan dan sebagainya.     

NONE "Tujuan pinjaman itu adalah untuk membangunkan projek tersebut bagi menampung keperluan daging negara kepada tahap sara diri sebanyak 38 peratus," katanya.

Perdana Menteri berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Wee Choo Keong (Bebas-Wangsa Maju) yang meminta penjelasan Menteri Kewangan sama ada berlakunya penyalahgunaan pinjaman mudah berjumlah RM250 juta kepada Agroscience Sdn Bhd pada 2003.

NFC ialah projek "Lembah Daging" di Gemas, Negeri Sembilan untuk meningkatkan pengeluaran daging tempatan dan mengurangkan penggantungan negara kepada pengimportan daging dari luar negara.

NONE Najib berkata syarikat NFC telahpun membangunkan Pusat Fidlot Nasional dan kini mengeluarkan produk daging tempatan yang berkualiti tinggi pada tahap komersil.

Produk pengeluaran NFC dijual di pasar raya seperti Jaya Jusco, Giant, Carrefour, Cold Storage, pasar segar, kilang pemprosesan daging, restoran dan pasar runcit di seluruh negara.

NFC kini menjalankan peningkatan kapasiti pengeluaran fidlot dari 6,000 ekor lembu kepada 12,000 ekor lembu manakala kapasiti penyembelihan di pusat penyembelihan kepada 200 ekor lembu sehari dan pembangunan itu dijangka siap pada awal tahun depan, katanya.

- Bernama

ADS