Kerajaan tidak akan termakan dengan cerita-cerita yang dibuat oleh
pembangkang kononnya projek ternakan lembu Perbadanan Fidlot Kebangsaan (NFC) telah menyalahgunakan dana kerajaan, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Tegasnya, kerajaan memang menyedari fakta yang sebenar mengenai isu berkenaan.
"Itu terserah kepada rakyat untuk menerimanya. NFC telah menjelaskan dan menjawab satu persatu perkara berbangkit dan penjelasan juga telah dibuat oleh Pengerusi Eksekutifnya," katanya kepada pemberita selepas perasmian Hari Unesco Malaysia di Kuala Lumpur hari ini.
Ditanya mengenai siasatan yang dijalankan ke atas NFC oleh pihak berkuasa, beliau berkata: "Terserah kepada pihak berkuasa kalau ada investigation."
NFC, yang telah dilantik untuk menguruskan projek perladangan ternakan lembu secara besar-besaran dan kemudahan pengeluaran daging lembu, terbabit dalam kontroversi selepas PKR mendakwa syarikat itu telah membelanjakan wang pinjaman mudah RM181 juta yang dibekalkan oleh kerajaan bagi memulakan projek itu.