Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
SMM: Tak cukup sekadar pinda AUKU
Diterbitkan:  Nov 24, 2011 2:24 PM
Dikemaskini: 6:40 AM

Pengumuman perdana menteri untuk meminda Seksyen 15, Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang menghalang mahasiswa berpolitik, menunjukkan akta tersebut sememangnya bahana yang membunuh idealisme dan patriotisme anak muda selama ini, tegas Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM).

Sambil menyambut baik pengumuman Datuk Seri Najib Razak itu, pengerusi SMM, Ahmad Syukri Ab Razab berkata, pindaan itu akan membolehkan mahasiswa kembali menjadi "anak muda negara yang bebas mengamalkan perlembagaan sebagai warganegara Malaysia".

NONE "Mahasiswa meminta semua pihak terutama pentadbir universiti menerima pengumuman perdana menteri secara terbuka.

"Mahasiswa sedar bahawa pentadbir universiti akan menjadi tonggak penting dalam memastikan idealisme mahasiswa kembali pulih setelah AUKU dimansuhkan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Perkara itu, tambahnya, termasuklah usaha universiti dalam membuka ruang kepada mahasiswa untuk terlibat secara aktif dengan pergerakan politik di Malaysia.

"Mahasiswa mengambil pengajaran daripada isu sudut pidato yang kembali dibenarkan untuk dijalankan sebagai aktiviti mahasiswa," katanya dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun, Ahmad Syukri mendakwa bahawa banyak pihak pentadbiran universiti dalam negara memberi sambutan dingin terhadap kehadiran sudut pidato sehinggakan ia lesu dan gagal dimeriahkan.

"Hal ini kerana terdapat pihak pentadbiran yang mewujudkan undang-undang melampau walaupun AUKU telah membenarkan sudut pidato," tambahnya.

NONE Di samping itu, beliau juga mahu Kerajaan memperhalusi beberapa tuntutan mahasiswa dalam menjayakan semangat pemansuhan AUKU.

"Mahasiswa tidak sekadar melihat pemansuhan AUKU secara tunggal, tapi apa yang lebih penting ialah pengisian terhadap aktiviti kemahasiswaan setelah AUKU dimansuhkan.

"Tuntutan mahasiswa ini telah dikemukakan dalam Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (BEBAS) yang dilancarkan baru baru ini.

"Antara tuntutan mahasiswa ialah mengembalikan hak pentadbiran kemahasiswaan kepada mahasiswa secara total yang mana tugas ini pada masa ini dikuasai sepenuhnya oleh bahagian hal ehwal pelajar (HEP)," katanya.

Selain itu, tambahnya, mahasiswa juga menuntut agar urusan pilihan raya kampus diserahkan sepenuhnya kepada mahasiswa bagi memastikan mahasiswa mendapat pendidikan politik secara menyeluruh dan tidak sekadar terdidik sebagai pengundi.

"Tuntutan ini diharap dapat diberi perhatian oleh kerajaan bagi memastikan pindaan AUKU, disusuli dengan pengisian yang mampu mendidik mahasiswa menjadi rakyat yang berfungsi kepada negara," tambahnya.

ADS