Malaysiakini, Malay Mail ikat penjanjian tukar berita

Malaysiakini dan akhbar Malay Mail memeteraikan perjanjian pertukaran berita yang ditandatangani petang ini.

Perjanjian itu membawa bersama akhbar bahasa Inggeris tertua di negara itu dan portal berita politik yang kini berusia 12 tahun.

Malay Mail, yang akan dilancarkan semula bulan depan sebagai akhbar harian berbayar, akan menerbitkan kandungan Malaysiakini dan portal hal ehwal semasa Mole.my yang dilancarkan baru-baru ini.

"Ini selaras dengan strategi editorial Malay Mail yang baru, untuk menyajikan kepada pembaca berita dari kedua-dua belah pihak berkaitan sesuatu isu," kata ketua pegawai eksekutif (CEO), Phillip Karuppiah di majlis taklimat oleh Kumpulan Redberry kepada pengiklan.

Akhbar harian tersebut akan merombak layout dengan masthead baru dan rekabentuk dan layout yang mesra pembaca.

Malay Mail mula diterbitkan pada 1 Disember 1896 dan dikenali pada era tahun 1980-an sebagai "The paper that Cares". Ia dijadikan akhbar harian percuma pada 5 Mei 2008.

Ia pernah menjadi sebahagian daripada Media Prima Bhd yang dikaitkan dengan Umno tetapi kini dimiliki oleh Redberry Media Sdn Bhd.

Tabloid petang yang kini diedarkan percuma, boleh dibaca melalui talian sehingga pelancarannya semula sebagai akhbar harian nasional pada 30 Januari dan akan dijual pada harga RM1.

NONECEO Malaysiakini, Premesh Chandran (kanan) berkata perjanjian pertukaran berita tersebut mengiktiraf peranan portal berita berkenaan sebagai penyedia berita bebas.

"Kami gembira kerana berita Malaysiakini akan menjadi sebahagian daripada akhbar Malay Mail. Ia juga akan membolehkan kandungan kami ditatapi oleh lebih ramai pembaca," tambahnya.

Perjanjian pertukaran berita itu membolehkan Malaysiakini mendapat akses kepada kandungan terpilih dalam akhbar Malay Mail, dan sekaligus dapat menyajikan secara lebih luas lagi pelbagai berita kepada pembaca.

Malaysiakini telah bermula sebagai satu inisiatif para aktivis dan wartawan yang kecewa dengan kawalan kerajaan yang ketat terhadap pemilikan media.

Ia gagal dalam permohonannya untuk mendapatkan permit penerbitan sejak beberapa tahun lalu, dan telah membawa pernolakan terbaru ke mahkamah untuk mendapatkan semakan kehakiman terhadap keputusan menteri dalam negeri.

'Tiada perubahan halatuju'

Perjanjian pertukaran berita ini adalah yang kedua bagi Malaysiakini, selepas mengadakan perkongsian yang sama dengan Yahoo News awal tahun ini.

"Malaysiakini mahu menggunakan sebanyak mungkin platform - di web, mudah alih, tablet, di TV, dan platform cetak, dan dalam seberapa banyak bahasa yang mungkin. Kami percaya, dengan menjangkau lebih ramai rakyat, akan membantu mengubah Malaysia," kata Premesh.

steven gan chinese website launchKetua pengarang kumpulan Malaysiakini, Steven Gan (kiri) baru-baru
ini menjelaskan bahawa pertukaran kandungan adalah satu langkah "mempelbagaikan sumber pendapatan" untuk kekal bebas.

Oleh itu, katanya, Malaysiakini melihat di luar bidang langganan dan pengiklanan untuk membiayai operasinya.

Katanya, satu sumber tambahan pendapatan ialah melalui penjualan kandungannya.

"Awal tahun ini, kami telah menandatangani perjanjian dengan Yahoo, di mana enjin cariannya diberikan hak untuk menggunakan beberapa kandungan Malaysiakini di lamanwebnya dengan dikenakan bayaran," tambahnya.

Premesh pula dengan tegas menafikan bahawa perjanjian dengan akhbar Malay Mail itu melibatkan pemindahan ekuiti sebagaimana didakwa oleh beberapa media dalam laporan mereka.

Sebaliknya, kata beliau, pemilikan dan halatuju Malaysiakini tidak akan berubah sama sekali.

"Kami akan terus melaporkan secara bebas dan memegang pihak berkuasa bertanggungjawab. Dalam apa keadaan sekalipun, kami akan menerbitkan berita secara bebas, dan kami akan kekal bebas. Di segi kewangannya, kami akan terus bergantung kepada pelanggan kami, yang melanggan untuk membaca berita yang bebas," katanya.

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.