Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapan beliau bertajuk "Debunking ETP: Widening Income Gap" pada malam Khamis 15 Disember lalu menimbulkan beberapa perkara mendesak yang memerlukan perhatian segera.

Ini termasuklah peningkatan kadar inflasi, pendapatan isi rumah yang semakin menghimpit, kebergantungan kerajaan terhadap Petronas, peningkatan perbelanjaan kerajaan, dan ketirisan dalam pengurusan ekonomi negara.

azlan Saya berpendirian bahawa semua cabaran ini tidak mungkin diselesaikan sekiranya kita tidak menekankan prinsip kerajaan terhad, pemotongan perbelanjaan kerajaan, pengutamaan sektor swasta untuk menerajui pertumbuhan ekonomi, dan peranan sistem harga ( the role of prices ).

Banyak masalah kini membelenggu rakyat akibat daripada campurtangan kerajaan yang keterlaluan dalam pelbagai hal.

Misalnya, kawalan harga barangan seringkali menimbulkan pelbagai krisis pengguna seperti kekurangan gula, kekurangan minyak masak, serta penyeludupan diesel dan beras.

Kadar faedah yang terlalu rendah pula mengakibatkan ramai rakyat berhutang kad kredit sehingga menjadi muflis, dan juga krisis hutang isi rumah yang semakin membimbangkan.

Ini adalah contoh betapa penolakan liberalisasi pasaran akan membawa kegagalan.

Anwar patut contohi Jean Chretien

Untuk mengatasi perkara ini, kita memerlukan sistem kerajaan yang dihadkan peranannya. Perlaksanaan konsep ‘kerajaan terhad’ antaranya harus meliputi saiz dan bilangan perkhidmatan awam yang kecil dan cekap.

Selain itu, perbelanjaan kerajaan bagi emolumen, subsidi korporat dan subsidi sosial harus dipotong bagi memastikan sumber-sumber ekonomi, buruh dan modal digunakan secara efisien.

NONE Cukai kenderaan import seharusnya dimansuhkan, cukai pendapatan individu dan syarikat dikurangkan dan sektor pendidikan dan ekonomi perlu diliberalisasikan.

Tetapi semua ini tidak disentuh dengan serius oleh Pakatan Rakyat.

Anwar seharusnya mencontohi usaha yang pernah dilakukan oleh Jean Chretien sewaktu beliau menjadi perdana menteri Kanada pada 90-an.

Walaupun beliau memimpin parti berhaluan kiri tengah ( centre-left ), beliau melakukan pembaharuan dasar fiskal dan pemotongan perbelanjaan awam secara bersungguh-sungguh demi kebaikan negara.

Sekiranya Pakatan Rakyat menunjukkan keikhlasan dalam menghadkan fungsi kerajaan, maka barulah wujud perbezaan yang tulen antara Pakatan Rakyat dengan BN. 

Hanya dengan itu Pakatan akan menjadi sebuah kerajaan yang bertanggungjawab.


Penulis merupakan Eksekutif Kanan Institute for Democracy and Economic Affairs (Ideas). Tulisan ini merupakan pandangan balas terhadap ucapan Anwar bertajuk "Debunking ETP: Widening Income Gap" di Kuala Lumpur baru-baru ini.

 

ADS