Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Polis buru dalang letupan di kompleks mahkamah
Diterbitkan:  Jan 10, 2012 4:49 PM
Dikemaskini: 10:19 AM

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamad Saleh hari ini berkata pasukan itu memerlukan kerjasama orang ramai untuk menyalur maklumat berhubung kejadian pengeboman semasa perhimpunan di sekitar kawasan Kompleks Mahkamah Jalan Duta, semalam.

Katanya, pasukan itu juga akan meneliti rakaman video polis bagi mengenal pasti suspek dalam kes letupan tersebut, yang berlaku semasa penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim berhimpun.

NONE "Kita akan tengok video yang kita rakam dan akan melihat secara keseluruhan keadaan semasa perhimpunan dan juga dalang yang meletakkan bahan letupan buatan sendiri itu," katanya, seperti dilaporkan Bernama.

Katanya lagi, polis juga sedang mengumpul maklumat untuk memutuskan sama ada penganjur perhimpunan didapati melanggar syarat yang ditetapkan untuk mengadakan perhimpunan tersebut.

Tambahnya, pasukan itu juga akan menyiasat lokasi insiden letupan dan juga perjalanan perhimpunan berkenaan.

NONE Tumpuan utama penyokong Anwar, berjumlah lebih 5,000 orang ketika insiden pengeboman itu bermula, adalah satu kawasan medan selera di Jalan Khidmat Usaha.

Beberapa pemimpin muda dari parti anggota Pakatan Rakyat juga telah mula berucap di kawasan medan selera berkenaan, sebelum bom pertama meletus pada jam 10.20 pagi pada jarak kira-kira 300 meter daripada salah satu pintu utama ke mahkamah.

Kawasan medan selera itu juga dikatakan sebagai lokasi yang akan dituju Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memberi ucapan.

Menurut polis, empat orang awam mengalami kecederaan kecil akibat letupan tersebut manakala seorang lagi dirawat kerana "terkejut" akibat kejadian berkenaan.

Insiden letupan berkenaan bagaimanapun tidak menimbulkan suasana panik di kalangan peserta perhimpunan tersebut.

Kumpulan berkenaan juga bersurai dengan aman setelah dinasihati polis supaya berbuat demikian dengan alasan "keadaan tidak selamat" ekoran letupan daripada bom jangka buatan sendiri itu.

ADS