Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MB Selangor tidak didesak untuk gugurkan Hasan Ali
Diterbitkan:  Jan 10, 2012 5:36 PM
Dikemaskini: 9:38 AM

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata beliau tidak didesak oleh sesiapa untuk menggugurkan Datuk Hasan Ali sebagai anggota exco negeri.

khalid ibrahim pc 171111 Abdul Khalid berkata, Hasan sewajarnya mengosongkan secara sukarela jawatan pengerusi tetap Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Negeri kerana beliau tidak lagi mewakili PAS dalam kerajaan negeri akibat beliau dipecat dari parti itu.

"Saya masih menunggu senarai pengganti bagi Hasan dari pucuk pimpinan PAS dan menjangkakan akan menerimanya tidak lama lagi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar alam sekitar anjuran Majlis Perbandaran Klang, hari ini.

Hasan, bekas pesuruhjaya PAS Selangor, dipecat oleh PAS, Ahad lalu, kerana tindakannya yang dianggap menyalahi dan merugikan kepentingan parti.

Abdul Khalid berkata, walaupun pucuk pimpinan PAS mempunyai kuasa untuk menentukan wakilnya dalam barisan exco negeri, ini tidaklah secara "mutlak".

Beliau berkata, beliau akan mengadap Sultan Selangor pada Jumaat ini untuk memberi taklimat kepada baginda mengenai perkembangan terbaru dan membincangkan calon sesuai bagi jawatan itu.

- Bernama

ADS