Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Polis: Letupan berpunca daripada bom jangka
Diterbitkan:  Jan 10, 2012 6:57 PM
Dikemaskini: 11:00 AM

Siasatan awal polis mendapati tiga letupan yang berlaku semalam pada perhimpunan di tempat letak kereta Kompleks Mahkamah Jalan Duta di Kuala Lumpur berpunca daripada bom jangka buatan sendiri.

NONE Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh ( kiri ), berkata pihaknya menunggu pengesahan pakar dan ahli kimia untuk menentukan jenis dan kelas bahan letupan itu.

"Antara bahan-bahan yang dijumpai di kawasan letupan itu ialah serpihan kon plastik, bebola gegalas, jam dan bateri," katanya dalam kenyataan yang disiarkan menerusi laman sosial Facebook hari ini.

"Polis mengumpul semua bahan bukti dari tempat kejadian dan akan dihantar untuk analisis dan sedang mengesan saksi-saksi lain yang boleh membantu dalam penyiasatan berhubung kejadian tersebut," kata Mohmad.

Seramai 4,500 orang menyertai perhimpunan itu bagi mengikuti keputusan kes liwat membabitkan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim. Mahkamah membekaskan dan melepaskannya daripada tuduhan meliwat bekas pembantunya Mohd

Saiful Bukhari Azlan pada 2008.

NONE Mohmad berkata, tiga letupan itu mengakibatkan empat orang awam cedera dan seorang lagi mengalami kejutan, selain menyebabkan kerosakan kecil kepada kenderaan milik orang awam.

"Kebanyakan kerosakan adalah disebabkan terkena bebola gegalas dan impak letupan. Kebanyakan kenderaan hanya mengalami kerosakan kecil melainkan sebuah motosikal yang mengalami kerosakan yang agak teruk," katanya.

Kes letupan itu diklasifikasikan mengikut Seksyen 6 Akta Bahan Letupan 1957 (Akta 2007), yang jika disabit kesalahan, boleh dikenakan penjara sehingga tujuh tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya.

Mohmad berkata, siasatan dan usaha untuk mengesan mereka yang bertanggungjawab giat dijalankan dan polis meminta kerjasama orang awam yang mempunyai maklumat untuk tampil membantu.

- Bernama

ADS