PAS hantar surat rasmi minta Hasan digugurkan

PAS telah menghantar surat rasmi kepada kerajaan negeri Selangor bagi memaklumkan bahawa exco kerajaan negeri, Datuk Hasan Mohd Ali telah dipecat daripada menjadi ahli parti itu.

Menurut Harakahdaily, makluman pemecatan itu dibuat melalui sepucuk surat yang dihantar kepada pejabat Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada jam 2.00 petang semalam.

NONE“Surat yang ditandatangani oleh Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali (kanan) itu disampaikan melalui faksimili.

“Surat itu disahkan penerimaannya oleh Setiausaha Politik Menteri Besar, Faekah Husein,” petik portal rasmi PAS itu.

Bagaimanapun Harakahdaily tidak menyatakan sama ada pengganti Hasan ada dinyatakan dalam surat berkenaan.

Semalam, Hasan Ali tidak hadir pada mesyuarat exco di Shah Alam dan menurut rakan sejawatannya, Ronnie Liu, bahawa beliau
sedang bercuti.

Sebelum ini, Abdul Khalid berkata beliau tidak didesak oleh sesiapa untuk menggugurkan Hasan tetapi sewajarnya beliau mengosongkan secara sukarela jawatan pengerusi tetap Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Negeri kerana tidak lagi mewakili PAS dalam kerajaan negeri.

Katanya, beliau akan mengadap Sultan Selangor esok untuk memberi taklimat kepada baginda mengenai perkembangan terbaru dan membincangkan calon sesuai bagi jawatan itu.

Ahad lalu, jawatankuasa pusat PAS semasa mesyuaratnya selama lebih tiga jam di Kuala Lumpur, membuat keputusan memecat Hasan berkuatkuasa serta merta.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mempengerusikan mesyuarat itu berkata, pemecatan dibuat berdasarkan Fasal 82(9) perlembagaan PAS.

hadi awang on hasan ali sacking 080112Hasan didakwa menimbulkan keresahan pelbagai pihak khususnya di kalangan anggota dan penyokong Pakatan Rakyat kerana mengambil pendirian bercanggah dengan partinya dan pembangkang.

Antaranya mempersoalkan konsep dasar negara kebajikan yang dterajui PAS.

Pemimpin kontroversi yang dikatakan mesra dengan Umno itu, sebelum ini mengecam golongan bukan ulama dalam PAS dan menuduh parti itu telah menyeleweng daripada perjuangan Islam.

Hasan mempunyai 30 hari bermula tarikh keputusan pemecatan untuk membuat rayuan kepada Majlis Syura Ulama PAS.

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.