Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
CPO: Letupan dilakukan profesional, bukan polis

Letupan di Kompleks Mahkamah Jalan Duta Isnin lepas dilakukan golongan profesional dalam pembuatan bahan letupan dan bukan oleh polis, kata Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh.

Beliau berkata siasatan di tempat kejadian mendapati ia dilakukan dengan menggunakan bahan peledak dan kon yang mudah diperoleh.

    

"Ketebalan tapak kon juga berbeza di mana pada tapak letupan pertama dan kedua, kedua-kedua kon ketebalannya hanya 3 milimeter dan kon ketiga hanya 2 milimeter, manakala tapak kon polis adalah setebal 7 milimeter," katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Cek Dari Tabung Amanah Perwira Negara (TAPPN) kepada balu anggota polis yang terkorban ketika bertugas, di ibunegara hari ini.  

    

Mohmad berkata tapak kon yang ditemui di lokasi kejadian ada yang berbentuk bulat dan segi empat manakala kon polis berbentuk segitiga.

Beliau juga mengesahkan komponen jam penggera, paip PVC serta bateri, bahan letupan yang digunakan adalah daripada jenis 'Jerangkap Rekaan Elektrik' dan bukan bom seperti yang diuar-uarkan sebelum ini.

    

Dalam insiden itu, tiga letupan berlaku di perhimpunan penyokong Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas Mahkamah Tinggi membebas dan melepaskan beliau daripada pertuduhan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 2008.

    

Mohmad meminta mana-mana pihak yang mengetahui atau menyedari ada individu membeli komponen berkenaan dalam kuantiti lebih daripada tiga, memaklumkannya kepada balai polis terdekat atau menghubungi Pegawai Penyiasat DSP Yahya Abdul Rahman di talian 019-470 8946.

    

Beliau berkata setakat ini, tidak ada pihak yang dipanggil untuk diambil keterangan dan siasatan masih diteruskan kerana polis hanya mempunyai rakaman selepas letupan itu berlaku.

    

Katanya, tiga siri letupan itu dipercayai dilakukan sekadar untuk mengucar-ngacirkan keadaan dan bukan untuk membunuh atau mencederakan mana-mana individu.

    

Mohmad juga kesal dengan spekulasi laporan muka depan sebuah akhbar berbahasa Melayu bahawa peserta perhimpunan itu yang membawa bahan letupan berkenaan.

ADS