Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Bekas presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat hari ini menyangkal khabar angin beliau berhasrat menyertai sebuah parti yang menganggotai Pakatan Rakyat.

Walaupun Ong tidak menolak khabar angin bahawa beliau telah mengadakan perjumpaan dengan para pemimpin pembangkang, tetapi ahli parlimen Pandan ini menafikan perjumpaan itu bertujuan membincangkan penyertaannya dalam mana-mana parti pembangkang.

"Sebelum ini, mereka (khabar angin) kata saya akan menganggotai PKR. Selepas perkara ini terbukti tidak benar, mereka kata pula saya akan menganggotai DAP pada 20 Jan. Apa pula selepas ni? PAS?" katanya.

Bagaimanapun, bekas Menteri Pengangkutan ini enggan berterus terang tentang langkah politik beliau seterusnya dan berkata beliau akan membuat pengumuman mengenai perkara itu pada waktu yang sesuai.

"Saya akan jelaskan perkara itu apabila sampai masanya. Untuk sementara waktu ni, saya memberi tumpuan terhadap tugas saya sebagai ahli parlimen, membantu orang di kawasan berkenaan," katanya.

   

Ini bukan kali pertama tersebar khabar angin bahawa Ong merancang untuk menyertai parti lain.

Oktober lalu, sebuah portal berita mendakwa Ong mengadakan perjumpaan secara berasingan dengan Pemimpin Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan ketua DAP Selangor Teresa Kok serta kemungkinan beliau berbincang dengan mereka mengenai penyertaannya dalam pakatan pembangkang. Bagaimanapun, Ong menafikan laporan itu.

Dalam temubual yang disiarkan sebuah akhbar harian berbahasa Inggeris minggu lalu, Ong berkata beliau akan mempertahankan kerusi Pandan yang disandangnya, walaupun beliau disingkirkan oleh MCA.

Sejak beberapa hari lalu, timbul pula spekulasi bahawa beliau akan meninggalkan MCA untuk menganggotai sebuah parti pembangkang pada 20 Jan.

Spekulasi ini dibuat berikutan peletakan jawatan secara serentak dua pemimpin peringkat akar umbi MCA yang mempunyai hubungan rapat dengan beliau -- Ketua Pemuda MCA Pulau Pinang Eng Hiap Boon dan timbalan pengerusi MCA Cawangan Rumah Pangsa Taman Desa Skudai James Wu Chee Heng -- hujung tahun lalu.

- Bernama

ADS