Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Gas pemedih mata di tempat tertutup berisiko kesihatan'

Gas pemedih mata, jika ditembak dalam ruang tertutup antara KLCC dan Avenue K, boleh mengakibatkan risiko kesihatan, demikian menurut seorang komander unit polis anti-rusuhan polis.

NONE Beliau memberitahu demikian ketika menjawab soalan peguam Chan Chew Weng yang mewakili keluarga pemandu teksi Baharuddin Ahmad, dalam inkues kematian Baharuddin semasa perhimpunan BERSIH 2.0 tahun lalu, bagi menuntut reformasi pilihan raya.

Sebelum itu, Chew bertanya, jika gas pemedih mata dilepaskan dalam ruang tertutup antara bangunan, apakah ketumpatan gas boleh menyebabkan isu (kesihatan).

Inspektor Mohd Alamshah Abdullah bersetuju dengan Chan sewaktu pendengaran hari ketiga inkues tersebut di hadapan Koroner Zulkpli Abdullah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini.

Alamshah adalah pemerintah Unit Pencegah Rusuhan (PORU) 38 yang menyuraikan peserta perhimpunan tersebut di hadapan Avenue K - bangunan di mana pemandu teksi itu dijumpai tidak sedarkan diri.

Bagaimanapun, Alamshah menegaskan bahawa 49 anggota PORU 38, yang didatangkan dari Batalion Kelapan Pasukan Gerakan Am yang berpangkalan di Pengkalan Chepa, Kelantan, tidak pernah mengambil sebarang tindakan agresif atau melepaskan tembakan gas pemedih mata di kawasan tersebut.

Katanya, mereka tidak mengambil sebarang tindakan dan hanya maju ke hadapan, ketika orang ramai bersurai sendiri.

Alamshah berkata, beliau yakin tidak seorang pun anggotanya mengambil sebarang tindakan tanpa arahannya kerana beliau memantau mereka dari atas kenderaan polis. [Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama melaporkan, Koroner Zulkpli Abdullah yang mendengar inkues kematian Baharudin hari ini melawat lokasi kejadian di bangunan Avenue K di Jalan Ampang di sini, tempat di mana pemandu teksi itu ditemui mati dalam keadaan duduk melunjur semasa menyertai perhimpunan haram 9 Julai tahun lalu.

   

Zulkpli tiba di lokasi pada pukul 4.50 petang dengan diiringi Timbalan Pendakwa Raya Kalmizah Saleh, Ahmad Ishrakh Saad dan Mohamed Shah Reza Nor Azman serta peguam Ahmad Jufliz Faiza dan Chan Chew Weng yang mewakili keluarga allahyarham Baharudin dan beberapa anggota polis.

   

Terdahulu Ahmad Ishraq memohon kepada Zulkpli agar mahkamah membuat lawatan ke lokasi kejadian bagi mendapatkan pemahaman yang lebih serta gambaran jelas

berkenaan keadaan sebenar ketika Baharudin ditemui di Avenue K.   

Di lokasi kejadian, saksi ke-10 pendakwaan iaitu Penjaga Bangunan Silahuddin Salim, 45, menunjukkan kepada koroner kedudukan dan keadaan Baharudin yang ditemuinya terduduk dalam jarak 152 sentimeter dari pintu pagar besi yang tidak ditutup sepenuhnya ketika hari kejadian.

   

Sementara itu, ketika prosiding inkues di mahkamah Silahuddin turut memberitahu bahawa beliau nampak Baharudin terduduk melunjur (berbentuk L) di tengah-tengah bangunan ketika berdiri di tepi pintu pagar besi terbabit.

   

"Ketika itu ramai yang lari memasuki bangunan Avenue K, dalam ramai-ramai itu saya nampak seorang lelaki duduk melunjur, badannya berpeluh serta matanya memandang ke atas.... selepas itu seorang wanita menjerit meminta tolong," katanya ketika ditanya Kalmizah semasa pemeriksaan utama.

   

Silahuddin turut memaklumkan pada hari kejadian beliau bekerja shif petang bermula dari 3 petang hingga 12 malam dan menurutnya, pada jam lebih kurang 4 petang, beliau melihat ramai orang cuba melarikan diri dengan memasuki bangunan tersebut dan tidak pasti mengapa mereka berbuat demikian.

   

Silahuddin berkata sebelum itu beliau sempat mengarahkan para pengawal keselamatan Avenue K untuk menyimpan penanda besi tempat meletak kereta di hadapan bangunan tersebut bagi mengelakkan alat terbabit digunakan oleh peserta perhimpunan haram.

   

Katanya terdapat tiga pintu besi, hanya dua daripadanya ditutup sepenuhnya manakala terdapat satu pintu satu lagi yang tidak ditutup sepenuhnya.

   

Dalam pada itu, pegawai polis Insp Mohd Alamshah Gulam, 30, memaklumkan bahawa tiada sebarang gas pemedih mata dilepaskan ketika bertugas di Kuala Lumpur City Centre (KLCC) disebabkan peserta perhimpunan itu memberikan kerjasama dengan bersurai.

Pengawai dari Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) Pengkalan Chepa, Kelantan itu berkata pada 9 Julai 2011, keadaan di sekitar Avenue K dipenuhi ramai orang dengan anggaran 4,000 hingga 5,000 peserta perhimpunan haram.

   

Namun, pengawai polis itu menjelaskan peserta perhimpunan di kawasan sekitar KLCC beredar menuju ke arah Jalan Ampang selepas beliau mengeluarkan arahan agar

mereka bersurai.

   

Inkues itu disambung esok.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS