Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PDRM hantar pasukan khas sahkan identiti militan
Diterbitkan:  Feb 3, 2012 6:14 PM
Dikemaskini: 1:32 PM

Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menghantar pasukan khas ke Filipina untuk mengesahkan identiti rakyat Malaysia yang mati dalam serangan ke atas persembunyian kumpulan Abu Sayyaf, di Sulu, wilayah selatan negara itu semalam.

    

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata Malaysia ingin mendapatkan kesahihan kematian pemimpin kanan pertubuhan militan Abu Sayyaf dan Jemaah Islamiyah (JI) Zulkifli Abdul Hir.

    

"PDRM sedang berurusan dengan Philippine National Police untuk menyalurkan sampel DNA keluarga Zulkifli bagi tujuan pengesahan mayat," katanya dalam kenyataan di ibunegara hari ini.

    

Hishamuddin berkata sekiranya mayat itu disahkan sebagai Zulkifli, pihak polis akan menguruskan kepulangan jenazah itu ke Malaysia untuk urusan pengkebumian.    

    

Polis juga menunggu pengesahan dua lagi mayat anggota Darul Islam (DI) Sabah iaitu Bacho dan Jeknal Adil yang ditemui dalam serangan itu, katanya.

    

Beliau berkata kedua-dua mereka yang berjaya melarikan diri daripada tangkapan polis dalam operasi pada November 2011, dipercayai turut berada bersama-sama kumpulan Abu Sayyaf di Sulu ketika tentera udara Filipina menyerang tempat persembunyian mereka.

    

Lima belas militan dilapor terbunuh semalam dalam serangan tentera Filipina ke atas kubu kuat kumpulan Abu Sayyaf dan pertubuhan Jemaah Islamiah (JI) itu di selatan negara itu.

    

Hishammuddin berkata kerajaan Malaysia memandang serius aktiviti militan haram serta kegiatan kumpulan pengganas dan sentiasa bekerjasama erat dengan negara luar dari segi keselamatan serantau. - Bernama

Sementara itu, dalam laporan terbaru AFP menyebut bahawa tentera Filipina berkata ia tidak dapat memperolehi bukti bahawa ia telah membunuh tiga suspek pengganas paling dikehendaki di Asia Tenggara, tetapi menegaskan ketiga-tiga mereka terbunuh dalam serangan udara yang disokong oleh Amerika itu.

Pasukan tentera telah dihantar ke kawasan hutan terpencil di mana pengeboman itu dibuat Khamis berlaku di pulau terpencil di selatan Jolo, tetapi mereka tidak menemui mayat, kata jurucakap tentera, Left-Koll Arnulfo Burgos kepada pemberita di Manila.

Burgos berkata tiga pemimpin kanan Abu Sayyaf dan Jemaah Islamiyah (JI) yang dikaitkan dengan Al-Qaeda serta 12 orang lagi yang terbunuh, telah dilarikan oleh rakan-rakan militan dan segera dikebumikan secara Islam.

Bagaimanapun beliau berkata pihak tentera yakin bahawa ketiga-tiga pemimpin paling dikehendaki itu, telah terbunuh berdasarkan risikan "aset".

"Ya, ianya A-1 (maklumat). Kami mempunyai sesuatu tetapi kami tidak boleh mendedahkan semua maklumat lain kerana ianya (rahsia) operasi," katanya.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS