Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PM: Transformasi manfaat untuk semua
Diterbitkan:  Feb 7, 2012 10:43 AM
Dikemaskini: 8:54 AM

Datuk Seri Najib Tun Razak meminta semua rakyat termasuk masyarakat Cina memberikan sokongan kepada program transformasi negara bagi merealisasikan impian menjadikan Malaysia sebagai negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Perdana Menteri berkata semua kaum di negara ini akan mendapat manfaat hasil daripada program transformasi yang terus dilaksanakan oleh kerajaan ke arah mencapai status negara maju.

najib jenjarum cny chap goh meh 070212 Beliau berkata demikian semasa berucap di hadapan 50,000 orang yang menyertai Karnival Chap Goh Mei 2012 anjuran BN Selangor di perkarangan Tokong Dong Zen, Jenjarum, dekat Kuala Langat, malam tadi.

Perayaan Chap Goh Mei disambut pada hari akhir Tahun Baru Cina.

Majlis itu turut disertai antara lain isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Presiden Gerakan Tan Sri Koh Tsu Koon.

Najib berkata usaha bagi mencapai status negara maju dan berpendapatan tinggi bukan mimpi di siang hari, tetapi ia adalah satu visi yang boleh dicapai jika rakyat percaya dan memberi sokongan kepada proses transformasi negara.

Yang teramat istimewa di Malaysia pada tahun ini ialah tiga perayaan agama yang disambut secara berturut-turut dimulai dengan sambutan Maulidur Rasul semalam, Chap Goh Mei pada hari ini dan Thaipusam pada keesokan hari, katanya.

"Tidak ada negara di dunia menyambut tiga hari kepercayaan secara berterusan (berturut-turut) melainkan negara kita ini. Ini satu yang unik bagi negara kita," katanya.

Menurutnya walaupun wujud perbezaan dari segi kepercayaan tetapi ada persamaan dari segi nilai yang boleh dijadikan ikatan untuk membentuk sebuah negara yang aman, harmoni dan bersatu padu.

Najib berkata setelah meluahkan konsep kesederhanaan sebelum ini, beliau mendapati agama lain juga mempunyai konsep kesederhanaan yang sama atau hampir sama yang membawa kepada sikap saling menghormati antara kaum.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS