Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Firma Malaysia wajar mengambil kesempatan daripada pelbagai peluang perniagaan di Turkmenistan yang kini berusaha meningkatkan perkongsian ekonomi dalam lingkungan lebih luas.

Pelawaan itu dibuat Presiden Turkmenistan, Gurbanguly Berdimuhamedov kepada Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman dalam pertemuan empat mata pada 1 Februari lepas.

NONE Bercakap kepada pemberita Malaysia di London pada Isnin, Anifah ( kiri ) berkata antara perkara utama yang dibangkitkan ialah peningkatan penglibatan Malaysia dalam industri, pengangkutan dan komunikasi serta sektor teknologi tinggi dan pelancongan, memandangkan Turkmenistan sedang melaksanakan pelbagai projek infrastruktur serta inisiatif perubahan secara besar-besaran.

"Presiden Berdimuhamedov yang pada tahun lepas bersama-sama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengangkat hubungan kedua-dua negara ke tahap lebih tinggi, telah membayangkan kepada saya yang kerajaannya akan memberi layanan mesra kepada sebarang kemungkinan penglibatan dan pelaburan Malaysia dalam ekonomi Turkmen," katanya.

Pasaran Turkmenistan yang pesat membangun serta iklim pelaburan yang baik di negara itu telah membentuk platform untuk kerjasama jangka panjang dengan komuniti perniagaan Malaysia.

"Kunjungan saya ke Turkmenistan juga untuk membantu Petronas mendapat peluang pelaburan lain serta memohon kelulusan segera kerajaan bagi mempermudahkan sesetengah daripada kerja yang mereka rancang di sana," katanya.

Petronas Carigali yang merupakan cabang eksplorasi dan pengeluaran Petronas, memulakan operasi bagi sektor Turkmen di Laut Caspian pada 1996. Pada Mei 2006, syarikat petroleum negara mula melibatkan diri dalam aktiviti hiliran seperti pengeluaran perindustrian dan eksport minyak.

Selain itu, Berdimuhamedov juga berharap Malaysia dan Turkmenistan dapat mempertingkatkan hubungan dua hala mengenai aspek kemanusiaan termasuk dalam bidang pendidikan, latihan profesional, sains dan kebudayaan.

Anifah juga berkata kementeriannya telah mengenal pasti calon untuk dilantik sebagai duta pertama Malaysia ke Turkmenistan apabila kedutaan dibuka di ibu kota Ashgabat tidak lama lagi.

Turkmenistan juga dalam proses mewujudkan kedutaan di Kuala Lumpur.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS