Kerajaan Terengganu mempunyai peruntukan yang cukup untuk membantu rakyat di negeri ini, kata Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said.
Beliau berkata kerana itu Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) punya peranan membuat laporan sekiranya mengetahui masalah penduduk yang memerlukan bantuan.
Berucap pada majlis perjumpaan dengan JKKK di sini hari ini, Ahmad ( bawah ) berkata mereka adalah pihak terdekat dengan masyarakat setempat yang seharusnya lebih peka terhadap masalah penduduk.
"Jika JKKK dapat menjalankan tugas lebih berkesan, tidak timbul lagi cerita penduduk miskin, daif sedang dalam kesusahan disiarkan media cetak dan elektronik. Boleh laporkan terus kepada wakil rakyat, penghulu mukim dan kepada beliau sendiri bagi tindakan sewajarnya.
"Takkan nak tunggu tersiar dalam media, baru hendak pergi menghulurkan bantuan. Kita tentu kenal penduduk kampung sendiri yang sedang dalam kesusahan," katanya.
Ahmad menggesa anggota JKKK lebih kerap turun padang dan menjaga kebajikan penduduk di kawasan kampung masing-masing supaya sebarang masalah dikenal pasti dan diberi bantuan segera.
Beliau berkata, JKKK lebih tahu mana-mana penduduk yang memerlukan bantuan segera sama ada yang mengidap sakit kronik, perlukan bantuan kerusi roda, tangan dan kaki palsu serta bantuan kebajikan.
"Kita malu jika ada kes disiarkan di media, sedangkan kerajaan negeri mempunyai peruntukan cukup untuk membantu," katanya.
Dalam pada itu Ahmad berkata tiga juta ringgit disediakan untuk empat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di daerah ini bagi tujuan pembinaan jalan raya baru dan kerja menaik taraf jalan sedia ada.
Katanya, peruntukan itu sebanyak RM750,000 bagi setiap DUN iaitu Alor Limbat, Pengkalan Berangan, Rhu Rendang dan Bukit Payung.
"Peruntukan khas itu untuk kerja-kerja naik taraf dan membina jalan baru saja, tanpa membabitkan kos perbelanjaan kemudahan infrastruktur lain seperti longkang. Diharap kerja dapat dilakukan secepat mungkin," katanya.
- Bernama
