Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan hari ini menuntut supaya satu badan bebas dilantik untuk mengaudit Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan, satu badan di bawah Majlis Agama Wilayah Persekutuan (MAIWP).
Ketuanya, Kamaruzaman Mohamad berkata, perkara itu perlu dibuat kerana mendakwa banyak perjalanan badan penyalur bantuan zakat itu yang diragui.
Antaranya, dakwa beliau, ialah perbelanjaan sehingga RM2 juta yang direkodkan yayasan itu, sepertimana dalam laporan tahunan 2010 MAIWP.
Laporan itu pula tidak menunjukkan siapakah penerima wang zakat tersebut tetapi hanya jumlah kutipan dan juga agihan wang zakat.
"Kami mendapati RM2 juta adalah sangat tinggi bagi menguruskan Yayasan Taqwa yang diketuai seorang pengurus besar dan 17 kakitangan.
"Kalau belanja pengurusan, di mana kos-kos pengurusan itu," soalnya dalam sidang media di ibu pejabat PAS hari ini.
Laporan itu sekadar menyebut bahawa yayasan berkenaan telah menyumbangkan RM4.98 juta untuk "program kebajikan dan kemasyarakatan" dengan fokus kepada sumbangan pendidikan.
Jumlah berkenaan adalah untuk sumbangan pendidikan (RM1,685,600), dakwah (RM334,336), kebajikan dan kecemasan (RM365,968) dan juga sosial (RM2,592,647), menurut laporan itu lagi.
Kamaruzaman juga terus mendesak Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom supaya menjelaskan perbelanjaan yayasan didakwa berjumlah RM800,000 yang juga tidak dinyatakan dalam laporan berkenaan.
Naib ketua pemuda pergerakan itu, Mohd Nasaie Ismail minggu lalu juga mendakwa, sejumlah dana yayasan itu telah digunakan oleh Jamil Khir yang juga pengerusi MAIWP untuk membiayai satu program politik di kawasan Jerai.
Dakwaan berkenaan bagaimanapun dinafikan menteri hal ehwal agama itu yang menjelaskan bahawa yayasan berkenaan bertujuan untuk memberi bantuan ke seluruh negara.
Mengulas perkara itu, Kamaruzaman berkata penafian itu hanya dibuat secara umum tanpa disertakan butiran mengenai pergerakan kewangan yang masuk ke akaun tersebut.
"Maka kami tuntut supaya satu badan bebas dilantik untuk audit secara terpertinci laporan kewangan Yayasan Taqwa.
Jamil Khir juga tidak menjawab memorandum yang dikemukakan pergerakan itu sebelum ini, kata Kamaruzaman lagi.
"Sekirannya tiada maklum balas, kami akan buat laporan polis dan laporan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk siasat secara lebih terperinci perjalanan pengurusan kewangan Yayasan Taqwa," katanya.
Yayasan tersebut juga sebelum ini dikaitkan dengan kegiatan mengedar sejumlah buku kepada sekumpulan imam masjid, yang didakwa bertujuan untuk memburuk-burukkan PAS.
Naib presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar pada November lalu mendakwa yayasan berkenaan telah membuat bayaran untuk buku bertajuk 'PAS Bukan Parti Islam'.
Mahfuz turut mengedarkan salinan dokumen yang didakwa sebagai arahan pembayaran, invois, sebut harga serta arahan penyerahan 250 naskhah berkenaan.
Aahan pembayaran berkenaan didakwa telah dibuat oleh setiausaha sulit kanan kepada menteri di jabatan perdana menteri, Lt Kol Ab Jabar Mohamad Aris.
Salinan didakwa invois daripada sebuah syarikat pula dialamatkan kepada menteri berkenaan, Jamil Khir.
