Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Kementerian Penerangan digesa supaya mengawal promosi sambutan Hari Valentine di media demi menjaga moral masyarakat Islam.

Ketika membuat gesaan tersebut, Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Kamaruzaman Mohamad berkata promosi yang berleluasa pada masa ini menunjukkan "seolah-olah kerajaan juga galak sambutan Hari Valentine."

Katanya, promosi berleluasa itu dibimbangi akan menggalakkan orang Islam membuat sambutan dengan melakukan maksiat.

Satu memorandum berhubung usaha itu akan dikemukakan kepada menteri penerangan, Datuk Seri Rais Yatim pada hari Jumaat, katanya.

"Jadi kita minta dikawal iklan ini kerana ia sedikit sebanyak pasti akan memberi kesan kepada muda mudi Islam.

"Mengikut konsep Islam, kita mahu mencegah, bukannya mengubat. Kita mahu mencegah perkara yang tidak baik bermula daripada pasangan yang belum berkahwin ini.

"Pada malam tersebutlah mega tangkapan (oleh penguatkuasa agama Islam) akan dibuat kepada remaja yang terlibat dengan aktiviti tidak bermoral," katanya.

Kesan daripada aktiviti itu dibimbangi akan menghasilkan "bayi longkang atau bayi tong sampah."

Bercakap dalam sidang media di ibu pejabat PAS hari ini, Kamaruzaman menjelaskan bahawa gesaan tersebut tidak bertujuan untuk menyekat sambutan di kalangan bukan Islam.

"Kita mahu supaya remaja Islam pemuda tidak terlibat dengan sambutan yang bertentangan dengan Islam dan kita yakin saranan ini bertujuan untuk kebaikan.

"Jadi saya rasa dalam kempen ini pasti tiada orang bukan Islam yang rasa hak mereka dicabar atau dicabul untuk sambut," katanya lagi yang mahu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia turut berkempen supaya tidak menggalakkan sambutan itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS