Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin dan pengarah strategik parti itu, Ramli Rafizi telah melantik pasukan empat orang peguam untuk mewakili mereka dalam kes saman fitnah RM100 juta oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.
Zuraida berkata beliau yakin saman tersebut tidak ada asas dan bersedia untuk bertemu di mahkamah pada bila-bila masa sahaja.
Menurutnya, kesempatan bersemuka di mahkamah dengan Shahrizat dan National Feedlot Corporation (NFC), akan digunakan sepenuhnya untuk mendapatkan maklumat terperinci mengenai dakwaan penyelewengan NFC; termasuk dokumen-dokumen rasmi yang boleh membantu memberikan gambaran sebenar bentuk urusan dan dakwaan penyelewengan yang mungkin berlaku di dalam NFC.
"Kami juga bersedia untuk memanggil saksi-saksi penting yang bertanggungjawab membuat keputusan bersabit NFC di semua peringkat kerajaan dan pihak-pihak lain bagi membantu merungkai skandal besar negara ini," katanya.
Empat peguam yang dilantik untuk mewakili mereka adalah Ranjit Singh, Sivarasa Rasiah, N Surendran dan Gopal Sreenevasan.
Zuraida berkata beliau dan Rafizi mengalu-alukan saman yang dikemukakan oleh Shahrizat kerana ia memberi mereka peluang untuk mendapatkan maklumat penting yang didakwanya kini tersembunyi daripada pengetahuan rakyat.
