Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
KWSP masih timbang syarat untuk skim perumahan
Diterbitkan:  Feb 8, 2012 7:59 PM
Dikemaskini: 12:35 PM

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menjelaskan bahawa badan itu masih dalam perbincangan dengan badan di bawah Yayasan Wilayah Persekutuan (Yayasan WP) untuk memberikan skim pinjaman bagi dua projek perumahan awam yang diumumkan perdana menteri.

Timbalan ketua pegawai eksekutif KWSP, Datuk Shahril Ridza Ridzuan juga menjelaskan bahawa perbincangan dengan syarikat tujuan khas (SPV) di bawah yayasan itu juga akan menentukan syarat melibatkan kemudahan pinjaman awal sebanyak RM300 juta.

"Pinjaman selanjutnya akan diluluskan atas budi bicara Panel Pelaburan KWSP tertakluk kepada prestasi memuaskan pengendalian akaun oleh SPV Yayasan WP," katanya.

Tambahnya, kemudahan pinjaman ini akan disemak semula 12 bulan selepas tarikh bayaran terakhir daripada jumlah RM300 juta dibuat.

Melalui kaedah pinjaman tersebut, SPV Yayasan WP akan mengadakan urusan pajakan (skim ijarah) dengan peserta terlibat.

"Hakmilik rumah-rumah tersebut kepunyaan SPV Yayasan WP sehingga urusan pajakan di bawah Skim Ijarah ini diselesaikan sepenuhnya oleh peserta terlibat," katanya lagi dalam satu kenyataan hari ini.

Pinjaman kepada yayasan itu terjamin memandangkan kesemua unit rumah tersebut akan dijadikan cagaran untuk pinjaman SPV Yayasan WP kepada KWSP, dengan perlindungan jaminan sehingga dua kali ganda jumlah pinjaman, katanya.

SPV Yayasan WP juga hanya akan memilih peserta dengan rekod prestasi yang baik untuk skim khas pembelian rumah Program Perumahan Rakyat-Majlis Tindakan Ekonomi Negara (PPR-MTEN) dan Perumahan Awam Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (PA DBKL) itu.

Menteri pembangunan wilayah dan kesejahteraan bandar, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin sebelum ni berkata KWSP dijangka menikmati kadar keuntungan 5.5 peratus setahun daripada pinjaman bercagar itu.

Skim khas pembelian rumah PPR-MTEN dan PA DBKL itu bertujuan membantu penyewa sedia ada mendapatkan sumber kewangan bagi membeli rumah yang ditawarkan.

Skim itu akan bermula Mac ini dan pembeli dijangka menandatangani surat perjanjian jual beli mulai Mei depan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS