Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata pembangkang tidak perlu mempertikaikan kemampuan pembeli Projek Perumahan Rakyat-Majlis Tindakan Ekonomi Negara (PPR-MTEN) dan Perumahan Awam DBKL (PA DBKL) untuk membayar balik pinjaman.

    

NONE Ini kerana kementerian telah mengenal pasti dan memastikan pembeli yang ditawarkan itu adalah golongan yang tidak mempunyai tunggakan sewa, tiada rekod buruk dan berkeupayaan untuk membayar balik pinjaman mereka, katanya.

    

Beliau berkata demikian bagi menjelaskan dakwaan pembangkang kononnya skim khas pembelian rumah PPR-MTEN dan PA DBKL itu yang melibatkan wang pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebagai berisiko tinggi kerana peserta skim itu berpendapatan rendah.   

    

"Pembeli yang dimaksudkan adalah yang dahulu duduk setinggan dan sekarang telah duduk di kawasan flat-flat ini dan mereka telah lama meminta untuk memiliki rumah PPR ini.

"Tetapi oleh kerana mungkin pada masa itu situasi itu belum sesuai, ia (pembelian rumah) tidak ditawarkan," kata Raja Nong Chik ketika ditemubual Bernama.

    

"Sekarang adalah masa untuk kementerian menunaikan janji-janji yang telah diuar-uarkan dahulu dan saya yakin pembeli akan tunaikan janji mereka untuk membayar," katanya.

    

Raja Nong Chik berkata penyewa flat-flat yang ada, akhirnya berpeluang untuk memiliki sebuah hartanah di bandar setelah menetap di bandar raya selama puluhan tahun.

    

"(Malangnya) pihak pembangkang mencabar seolah-olah bahawa bakal-bakal pembeli yang pihak kementerian cadangkan ini tidak layak dipinjam (diberi pinjaman) oleh kerana mereka ini kebanyakan daripada golongan berpendapatan rendah," katanya.

    

Beliau berkata pembangkang perlu menjelaskan mengapa mereka katakan risiko begitu tinggi untuk memberi pinjaman kepada bakal pembeli ini seolah-olah keadaannya sama dengan yang berlaku di Amerika Syarikat dan lain-lain negara di mana situasinya sangat berbeza.  

    

"Di Amerika Syarikat pinjaman adalah dua tiga kali ganda nilai hartanah. Ini terbalik (di Malaysia) dan nilai pun tidaklah besar, malah di peringkat awal pun KWSP akan bagi secara berperingkat-peringkat," katanya.

Selain itu, Raja Nong Chik berkata KWSP telah menetapkan syarat-syarat yang perlu dan kementerian juga akan mengikutinya.

    

"Syarat itu pun telah dihalusi oleh KWSP, dan memang pasti begitu ketat dan tidak menjejaskan (sesiapa) khususnya pasal isu-isu yang pihak pembangkang bawa iaitu berkenaan dengan pencarum-pencarum," katanya.

Beliau berkata dakwaan pembangkang itu kononnya seolah-olah kerajaan menggunakan duit pencarum dan sengaja melabur dalam pelaburan yang berisiko tinggi, sedangkan KWSP telah mengumumkan bahawa ia telah mengikuti semua peraturan Prosedur Operasi Standard (SOP).

    

Semalam, Timbalan Ketua Eksekutif dan Ketua Pelaburan KWSP, Datuk Shahril Ridza Ridzuan menjelaskan bahawa skim khas itu tidak melibatkan KWSP memberikan pinjaman kepada individu.

    

Skim khas pembelian rumah PPR-MTEN dan PA DBKL yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 28 Disember lepas bertujuan membantu penyewa sedia ada mendapatkan sumber kewangan bagi membeli rumah-rumah yang ditawarkan.

    

Skim itu akan bermula Mac ini dan pembeli dijangka menandatangani surat perjanjian jual beli mulai Mei depan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS