Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Isu Israel: Najib selar kenyataan berbeza Anwar
Diterbitkan:  Feb 14, 2012 2:20 PM
Dikemaskini: 6:23 AM

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini menyelar tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung kenyataannya yang didakwa berbeza terhadap pendengar yang berlainan dalam isu Palestin-Israel.

Malah, katanya, kenyataan Anwar itu pasti mengundang kecewa rakyat Palestin, lapor Bernama.

NONE "Kita tidak bolehlah menggunakan apa yang kita kata kepada khalayak yang berlainan untuk melihat hasil yang berlainan. Kita harus konsisten kerana apa yang kita cakap, walaupun di Bachok atau Jerantut, ia boleh dilaporkan ke seluruh dunia," kata perdana menteri.

Najib berkata PAS pun telah mendesak Anwar supaya menyaman Wall Street Journal atau menarik balik dan memberi penjelasan apa yang beliau (Anwar) katakan kepada media antarabangsa itu.

Najib diminta mengulas sama ada Malaysia akan mengeluarkan kenyataan jelas mengenai kekecewaan yang diluahkan oleh pihak berkuasa Palestin berhubung kenyataan Anwar mengenai Israel itu.

Menurut agensi berita nasional lagi, kekecewaan dan kebimbangan itu disampaikan oleh Perdana Menteri Palestin Ismail Haniyeh kepada Pengerusi Pentadbiran Yayasan al-Quds Malaysia, Nasharuddin Mat Isa, di Kuwait baru-baru ini.

NONE Nasharuddin, yang juga anggota Parlimen Bachok daripada PAS, dilaporkan berkata Ismail dan rakyat Palestin keliru dan bimbang setelah Anwar membuat kenyataan kepada WSJ bahawa beliau menyokong usaha melindungi keselamatan Israel.

Sementara itu, Najib menegaskan Malaysia sentiasa memberi sokongan yang padu terhadap perjuangan rakyat Palestin secara konsisten.

"Saya tahu dan saya berpendapat Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) tahu bahawa itu (sokongan kepada Israel) bukanlah pendirian kita.

"Mereka (rakyat Palestin) tahu kerajaan Malaysia selama ini menyokong kuat perjuangan Palestin dan akan terus memberi sokongan padu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Minggu Pembinaan Antarabangsaan di Kuala Lumpur.

ADS