Presiden kumpulan pendesak Melayu PERKASA Datuk Ibrahim Ali, yang baru-baru ini menimbulkan kontroversi kerana mengedar 'angpow putih' sekali lagi akan mengedarkan wang sempena acara Tahun Baru Cina, esok di kawasan parlimenya di Pasir Mas, Kelantan.
Menurut beberapa akhbar-akhbar Cina, ahli parlimen Bebas itu akan menghadiri majlis malam Tahun Baru di sebuah kuil Cina, esok. Beliau dijadual mengedarkan 350 angpow setiap satu berisi RM100 kepada warga emas, orang kurang upaya dan ibu tunggal.
Menurut jurucakap pusat operasi Ibrahim di Pasir Mas dipetik akhbar Sin Chew sebagai berkata, pemimpin itu lazimnya pulang ke kawasan pilihan rayanya setiap Khamis dan berjumpa dengan penduduk serta masyarakat setempat pada hari Jumaat.
Akhbar itu juga melaporkan kemungkinan sesetengah penduduk Cina tempatan akan memulaukan acara itu kerana insiden 'ang pow putih'.
Sebagai seorang ahli politik yang berpengalaman, kata mereka Ibrahim tidak sepatutnya membiarkan kejadian seumpama itu berlaku.
PERKASA diselar pelbagai pihak termasuk daripada parti komponen BN apabila presidennya mengagihkan ang pow putih pada majlis ruma terbuka Tahun Baru Cina anjurannya pada 29 Januari, satu amalan yang hanya dikhaskan ketika pengkebumian dalam budaya masyarakat Cina.
Sementara itu, dalam SMS kepada Malaysiakini, setiausaha agung PERKASA, Syed Hassan Syed Ali menjelaskan tidak ada sebarang acara PERKASA esok untuk mengedarkan ang pow.
"Apa program yang Datuk Ibrahim adakan esok di Pasir Mas adalah program ahli parlimen Pasir Mas," katanya dalam satu kenyataan hari ini sambil menambah bahawa tidak perlu ditanya warna apa ang pow akan diedarkan esok dalam program Ibrahim di kawasan parlimennya esok.
"Sebelum ini di Pasir Mas di awal CNY (Tahun Baru Cina) beliau edarkan ang pow merah. Pastinya jika ada diedarkan ang pow esok di Pasir Mas warnanya merah juga," tambahnya sambil berkata, cukuplah memainkan isu warna ang pow.
