Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Dr M akui balas surat tolak hubungan dengan Israel
Diterbitkan:  Feb 24, 2012 9:24 AM
Dikemaskini: 4:15 AM

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui bahawa kerajaan Malaysia semasa pentadbirannya menolak hubungan Malaysia dengan Israel dan jawapan itu diberikan melalui sepucuk surat kepada Perdana Menterinya Ehud Barak.

mahathir ebook launching 091211 04 Beliau menjelaskan surat daripada Israel pada ketika itu adalah mahu Malaysia menukar pendirian mengenai hubungan antarabangsa dengan Israel.

"Saya menjawab balik mengatakan Malaysia tidak akan ada apa-apa hubungan dengan mereka (Israel) selagi mereka tidak mengiktiraf kedudukan rakyat Palestin," katanya kepada pemberita selepas menghadiri perasmian Jelajah Keamanan Wakaf Water4Gaza di Ipoh, semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditanya dakwaan pelbagai blog pembangkang pada masa sekarang mengenai sepucuk surat yang diutuskannya semasa menerajui pentadbiran Malaysia ketika itu, kepada Israel.

Dr Mahathir yang juga Presiden Yayasan Keamanan Global Perdana (PGPF) berkata bagaimanapun kerajaan Malaysia tidak membenarkannya menyiarkan surat berkenaan walaupun beliau mahu berbuat demikian.

Katanya beliau membalas semula surat berkenaan dengan mengatakan hubungan dengan Israel tidak mungkin terjalin sekiranya mereka masih berkelakuan sebagai pengganas.

Dr Mahathir berkata tidak ada sebarang sebab Malaysia boleh menyokong Israel kerana tindakan rejim Yahudi adalah lebih ganas daripada pengganas.

gaza israel attack 120109 04 "Dia (Israel) bom Iraq sebelum ada perang, dia tidak peduli untuk langgar undang-undang dunia, dia tidak peduli sebab ada Amerika akan sokong...Kita mahu pertahankan orang yang diserang bukan orang yang menyerang," katanya.

Beliau juga menjelaskan bahawa Malaysia tidak mengeksport atau mengimport barangan atau produk dari Israel dan tidak menafikan sekiranya terdapat barangan atau produk Israel masuk ke negara ini, ia adalah kerana peranan orang ketiga.

"Kita tidak boleh menentukan, sebelum ini kita tidak ada hubungan Afrika Selatan, tetapi pihak lain beli getah daripada kita dan jual kepada Afrika Selatan.

"Demikian juga isu minyak kelapa sawit, minyak kita dibeli oleh pihak ketiga dan kemudian mereka jual...saya tahu yang masuk ke negara ini adalah buah pisang kaki. Ia tidak dilabel dari Israel tapi masuk melalui Singapura, orang Singapura bawa masuk ke Malaysia, tapi kita tidak ada hubungan diplomatik dengan Israel," katanya.

Terdahulu ketika berucap, Dr Mahathir berkata tindakan berperang dan membunuh bagi menyelesaikan konflik antara dua pihak merupakan satu jenayah yang besar dan jika masyarakat dunia membenarkan perkara itu terjadi maka dunia tidak akan aman.

israel gaza offensive attack 090109 05 "Tindakan berperang dan pembunuhan beramai-ramai bagi menentukan pihak mana yang menang adalah satu pendekatan primitif...apakah ini menunjukkan manusia itu bertamadun. Manusia bertamadun tidak akan membunuh untuk selesaikan konflik," katanya.

Tindakan berperang untuk menyelesaikan konflik antara dua pihak terjadi pada zaman primitif kerana manusia pada masa itu berfikiran cetek dan tidak tahu cara menyelesaikan masalah.

Beliau berkata dalam dunia moden sekarang dengan terdapat lebih kurang 200 negara yang menganggap mereka sebagai bertamadun namun ada antaranya masih menerima peperangan sebagai penyelesaian konflik.

Pada majlis berkenaan PGPF menerima lapan replika cek dengan jumlah keseluruhan RM282,158 untuk program Jelajah Keamanan Wakaf Water4Gaza daripada pelbagai badan sukan negeri, pertubuhan parti politik, jabatan dan agensi kerajaan serta kerajaan negeri Perak.

Program Jelajah Keamanan Wakaf Water4Gaza diadakan bagi membantu menyalurkan sejumlah 1.5 juta botol air mineral kepada penduduk Palestin yang menderita kekurangan bekalan air bersih akibat sekatan dan pemusnahan sistem pembetungan serta loji penapisan air di Gaza oleh rejim Zionis.

- Bernama

ADS