Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
JK siasat perbelanjaan setiap kementerian
Diterbitkan:  Feb 25, 2012 3:54 PM
Dikemaskini: 2:37 PM

Kerajaan telah menubuhkan Jawatankuasa Penyiasatan Belanjawan 2011 Putrajaya (JPB) bagi menyemak keberkesanan perbelanjaan

peruntukan yang diberikan kepada setiap kementerian, kata Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

    

Beliau berkata jawatankuasa itu akan dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

    

"Di bawah jawatankuasa ini diwujudkan pula sebuah lagi jawatankuasa yang dipanggil Jawatankuasa Penyelesai Masalah Belanjawan 2012 (JPMB) yang diketuai Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah.

    

"Jawatankuasa ini berperanan menyiasat perbelanjaan kerajaan bagi memastikan ia dibelanjakan dengan efektif," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian wang bantuan kepada mangsa banjir di Sekolah Agama Rakyat Taufiqiah, Kampung Tengku Hussin hari ini.

    

Beliau berkata JPMB akan menemui tiga kementerian secara serentak bagi membincangkan setiap masalah yang menyebabkan peruntukan tidak dapat dibelanjakan oleh kementerian terlibat.

Ahmad Husni berkata ia berikutan terdapat kementerian yang tidak dapat membelanjakan peruntukan yang disalurkan dan memulangkannya kepada Perbendaharaan.

    

"Seperti yang kita tahu GDP negara tahun lepas mencatat pertumbuhan sebanyak 5.1 peratus dan sekiranya peruntukan kerajaan digunakan sepenuhnya pertumbuhan itu dijangka lebih tinggi.

"Jadi, di dalam keadaan perkembangan ekonomi dunia yang semakin mencabar, kerajaan mahu menyemak pencapaian-pencapaian ini bagi memastikan negara berada di landasan yang betul," katanya.

Beliau berkata JMPB kemudiannya akan menghantar laporan kepada JPB yang akan bermesyuarat pada bulan depan.

    

Ahmad Husni, yang juga anggota parlimen Tambun, berkata mesyuarat itu akan memutuskan tindakan yang akan diambil bagi mengatasi halangan yang menyebabkan gangguan kepada perbelanjaan itu serta masalah lain yang berkaitan.

Terdahulu, Ahmad Husni menyampaikan bantuan berjumlah RM80,000 kepada 245 penduduk sekitar Kampung Manjoi, di sini yang terlibat dalam  banjir kilat Ahad lepas.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS