Satu perhimpunan yang dirancang sekumpulan penduduk Cameron Highlands di Putrajaya hari ini dibatalkan selepas menteri besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob bersetuju untuk campur tangan dalam isu tersebut.
Dalam satu kenyataan hari ini, setiausaha PSM Cameron Highlands Suresh Kumar berkata Adnan telah bersetuju untuk bertemu dengan penduduk berkenaan untuk berbincang mengenai masalah melibatkan tanah dan pertanian.
Katanya, perkara itu merupakan satu kemenangan kecil untuk penduduk berkenaan yang cuba menemui menteri besar berkenaan sejak dua tahun lalu tetapi tidak berjaya.
Penduduk berkenaan antara lainnya tidak berpuas hati kerana kerajaan negeri telah menolak permohonan lesen menduduki sementara untuk petani yang telah mengerjakan tanah untuk beberapa dekad.
Kumpulan penduduk itu juga menuntut penyelesaian lebih baik untuk penempatan semula gerai di kawasan Kea Farm yang perlu dibangunkan semula.
Suresh berkata, usaha untuk berhimpun di Putrajaya itu telah menyebabkan Adnan bersetuju untuk mengadakan rundingan.
Katanya lagi, kumpulan berkenaan yang diketuai PSM akan bertemu Adnan di Wisma Sri Pahang, esok untuk menyelesaikan isu tersebut.
