Ketua pegawai operasi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional, Wan Ahmad Wan Yusof berkata badan itu sedia berunding dengan peminjam yang disenaraihitam dan juga yang tidak mampu membuat bayaran.
Katanya, peminjam boleh membayar sejumlah wang yang dipersetujui serta komitmen bayaran bulanan serendah RM100 sebulan untuk melepaskan diri daripada senarai hitam yang menghalang mereka daripada ke luar negara.
"Jika ada persetujuan begitu, kita lepaskan (dari senarai hitam) dan peminjam boleh berbuat demikian tujuh hari sebelum ke luar negara," katanya dalam sidang media selepas menghadiri Rundingan Meja Bulat Mahasiswa Nasional di Kuala Lumpur hari ini.
Rundingan yang disertai 160 wakil siswa dan kumpulan NGO itu antara lainnya meluluskan resolusi supaya langkah penyenaraian hitam itu dimansuhkan.
Langkah penyenaraian hitam itu juga dibantah keras oleh ketua pemuda Umno, Khairy Jamaluddin yang turut menyertai rundingan meja bulat berkenaan.
Wan Ahmad bagaimanapun mempertahankan langkah berkenaan sebagai "langkah terbaik" sebelum peminjam itu dibawa ke mahkamah atas kegagalan membayar pinjaman tersebut.
Tambahnya kini hanya 17 peratus daripada sejumlah peminjam "tidak peduli" yang masih tidak membuat bayaran pinjaman tersebut.
Menurutnya, PTPTN sedia berunding untuk memberi penangguhan pembayaran sekiranya peminjam berkenaan gagal mendapat pekerjaan
