Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kesatuan sekerja tuntut penjelasan bos KTMB
Diterbitkan:  Apr 18, 2012 7:53 AM
Dikemaskini: Apr 18, 2012 7:30 AM

Kesatuan pekerja Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan menuntut pemimpin atasan syarikat kerajaan itu supaya menjelaskan berhubung dakwaan wujud arahan membenarkan bendera BN dipasang di stesen Komuter seluruh Selangor dan  memeliharanya daripada disabotaj.

Presiden Kesatuan Pekerja-Pekerja KTMB (RUM) Abdul Razak Abdul Hamid  berkata, beliau akan cuba bertemu dengan pengerusi KTMB sendiri bagi tujuan itu.

"Saya memang bercadang nak berjumpa dengan Datuk Mohd Zin untuk dapatkan penjelasan lanjut mengenai perkara ini. Tetapi saya tak ada masa lagi sebab buat masa ini saya sibuk sedikit.

"Tapi saya memang bercadang nak jumpa dia," katanya ketika dihubungi Malaysiakini semalam sambil berkata perjumpaan itu masih belum ditetapkan ekoran kekangan masa.

Sebelum ini, Malaysiakini melaporkan, Pengerusi KTMB Datuk Seri Ir Mohd Zin Mohamed yang juga koordinator BN Selangor mengeluarkan arahan membenarkan bendera di pasang di seluruh 28 stesen di Selangor yang kini ditadbir oleh Pakatan Rakyat.

Menurut sumber, beliau didakwa meminta pegawai KTMB memastikan bendera itu digantung di tempat sesuai, kemas dan tidak menjejaskan keselamatan operasi stesen.

Malah, beliau dikatakan meminta polis bantuan memantau supaya bendera yang dipasang selamat daripada perbuatan khianat.  

Bekas menteri kerja raya itu bagaimanapun menafikan mengeluarkan arahan itu tetapi berpendapat ia tidak menjadi masalah asalkan tidak mengganggu isyarat dan memudaratkan perjalanan Komuter.

Berhubung dakwaan itu, Abdul Razak berkata, jika arahan tersebut benar-benar dikeluarkan, ia tindakan tidak wajar.

"Saya tak tengok arahan itu. Saya tak dapat. Saya tahu perkara ini pun melalui berita yang disiarkan.

"Kalau bendera hendak di pasang di luar kawasan stesen, tidak menjadi masalah. Tetapi jika dipasang di dalam kawasan stesen, benda itu memang tidak wajar.

“Tidak kiralah bendera parti apa pun, kalau nak pasang di luar macam dekat pagar, memang boleh asalkan jangan ganggu keselamatan," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS