Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Penyokong serang rumah pengurus pasukan T'ganu
Diterbitkan:  Apr 22, 2012 3:54 PM
Dikemaskini: 7:58 AM

Dek kekalahan demi kekalahan yang  dicatatkan oleh pasukan Terengganu, pihak pengurusan Terengganu semakin hebat dikecam oleh penyokong setia pasukan itu.

Kali ini rumah Pengurus Pasukan Terengganu Datuk Che Mat Jusoh menjadi mangsa diserang oleh kira-kira 100 penyokong pasukan itu.

Dalam kejadian jam 11.30 malam tadi ada penyokong yang bertindak liar dengan membuat kecoh serta membaling batu ke arah kediaman Che Mat di Kampung Panji Alam, di Kuala Terengganu.

Serangan itu adalah kemuncak bantahan yang dibuat di luar Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, di Kuala Terengganu sebaik selesai perlawanan suku akhir pertama Piala FA malam tadi yang menyaksikan sang penyu tumbang 1-2 di tangan pasukan berstatus kelab, Sime Darby.

Lebih daripada 500 peminat berkumpul sepanjang laluan keluar dari kawasan stadium berkenaan dengan mengangkat kain rentang dan poster yang meminta Che Mat dan jurulatih Mat Zan Mat Aris meletak jawatan.

Bagaimanapun, keadaan itu berjaya dikawal setelah pihak polis ke rumah berkenaan setelah menerima panggilan telefon daripada pengurus pasukan itu.

Che Mat ketika dihubungi Bernama berkata beliau kesal dengan tindakan tidak bertamadun segelintir penyokong pasukan termasuk menyerang rumahnya.

Katanya dia tidak akan melepaskan jawatannya dan tindakan yang dibuat oleh beberapa peminat hanya akan memberi kesan negatif ke atas pemain.

"Saya terkejut dengan tindakan mereka tetapi saya tidak akan melepaskan jawatan saya sebagai pengurus pasukan dan tidak akan menekan butang panik lagi.

"Para pemain telah mencuba yang terbaik...peminat sebenar sepatutnya  menyokong pasukan walaupun ketika pasukan itu menang atau kalah," katanya.

Sementara itu Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Terengganu ACP K. Manoharan ketika dihubungi berkata akibat tindakan agresif itu bumbung rumah pengurus itu rosak akibat dibaling objek dan ada sebahagian daripada mereka bertindak menekan loceng dan menggoncang pintu pagar.

Bagaimanapun tiada tangkapan dibuat dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana perbuatan khianat.

- Bernama

ADS