Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Hisham: K'jaan tak halang tapi timbul isu lokasi
Diterbitkan:  Apr 24, 2012 8:15 PM
Dikemaskini: 12:25 PM

Kerajaan tidak menghalang badan bukan kerajaan menganjurkan perhimpunan pada hujung minggu ini di ibunegara, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.  

"Isu kerajaan melarang tidak timbul tetapi isunya sekarang ialah lokasi. Empat lokasi ditawarkan kepada mereka kini," katanya.

    

Penganjur perhimpunan yang disokong pembangkang itu memohon mengadakan perhimpunan di Dataran Merdeka tetapi ditolak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kerana perhimpunan itu tidak bertaraf nasional dan membabitkan kepentingan masyarakat manakala polis menolak lokasi itu kerana konteks keselamatan.  

    

DBKL menawarkan Stadium Titiwangsa, Stadium Badminton dan Stadium Bolasepak Kuala Lumpur di Cheras sebagai lokasi alternatif manakala Perbadanan Stadium Malaysia menawarkan Stadium Nasional Bukit Jalil sebagai lokasi perhimpunan.

    

"Saya sudah katakan bahawa perhimpunan itu boleh berjalan dan ia bukan satu isu, isunya sekarang ialah lokasi, empat lokasi ditawarkan kepada mereka kini," katanya ketika ditemui di luar majlis pelancaran Talent Roadmap 2020 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di Putrajaya.

    

Hishammuddin berkata penganjur perhimpunan itu ternyata cuba mengelirukan dan mengabui mata rakyat apabila menuduh DBKL, Polis Diraja Malaysia dan Menteri Dalam Negeri bercanggah pendapat berhubung penganjuran perhimpunan itu yang bertegas mahu mengadakannya di Dataran Merdeka.

    

"Mereka telah ditawarkan empat pilihan tempat untuk berhimpun dan tidak ada lagi alasan untuk mereka terus berhimpun di Dataran Merdeka," katanya.

    

Sementara itu dalam satu kenyataan yang diedarkan pada majlis itu, Hishammuddin berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Talent Corporation Malaysia Bhd bagi menyelaras isu-isu dasar dan inisiatif pelaksanaan berkaitan ekspatriat.

    

Menerusi MoU itu, kedua-dua pihak bersetuju mengkaji, menambah baik, menyelaras dasar-dasar semasa berkaitan golongan ekspatriat, dan mengenal pasti isu-isu semasa untuk tindakan agensi-agensi berkaitan, termasuk awam dan swasta.

    

Beliau berkata kedua-dua pihak juga akan mengenal pasti dan mengesyor langkah-langkah penambahbaikan serta menyelaras pelaksanaan kemudahan-kemudahan bagi ekspatriat, contohnya Pas pengajian, Pas Residen-Talent, Permit Masuk serta lain-lain mekanisme serta kemudahan yang berkaitan.

Hishammuddin berkata sehingga 31 Mac lepas, Jabatan Imigresen dengan kerjasama TalentCorp meluluskan 636 Pas Residen untuk individu berkemahiran tinggi daripada pelbagai sektor NKEA.

    

"Pemberian Pas Residen kepada golongan berbakat ini memberi impak positif dalam pembangunan ekonomi negara melalui pemindahan kemahiran dan pengetahuan kepada warga tempatan khususnya dalam sektor-sektor kritikal, dan ia juga berupaya meningkatkan daya saing ekonomi negara," katanya.

    

Antara ciri-ciri Pas Residen ialah pemegangnya diberi kebenaran tinggal dan bekerja di Malaysia dalam jangka masa lima hingga 10 tahun dan boleh diperbaharui, dan mereka tidak terikat dengan majikan secara khusus.

- Bernama

ADS