Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berkata, pelbagai pihak bersedia menerima Zaid Ibrahim bertanding di Kota Bharu jika bukan di atas tiket parti KITA.
Khalid yang juga timbalan pesuruhjaya PAS Selangor berkata, ini kerana sesetengah pemimpin KITA mutakhir ini kelihatan tidak lebih seperti agen Umno yang ditugaskan untuk menyerang Pakatan Rakyat secara berterusan.
"Saya menyokong penuh kenyataan YB Takiyuddin bahawa kalau Zaid nak bertanding (atas tiket KITA), kita anggap dia saingan, bukan kawan.
"Biarlah dia bertanding tiga penjuru," katanya.
Timbalan Yang Dipertua PAS Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan Sabtu lalu memutuskan PAS akan bertanding kerusi Parlimen Kota Bharu dan tidak akan memberi laluan kepada parti lain seperti PKR atau KITA.
Khalid berkata Zaid perlu berbincang dengan PAS Kelantan jika tetap mahu bertanding di Parlimen Kota Bharu di atas tiket PAS
"Dia kena isytiharkan kesetiaannya bersama kita, tetapkan pendiriannya yang dia bersama kita," kata Khalid.
Zaid sebelum ini mengesahkan akan bertanding Parlimen Kota Bharu dalam pilihan raya umum akan datang.
Beliau memenangi kerusi itu pada tahun 2004 atas tiket BN dengan majoriti 1,723 undi apabila mengalahkan calon PKR Nik Mahmood Nik Hassan.
