Orang Melayu disaran berhati-hati dengan beberapa NGO yang didakwa mempunyai agenda mengekalkan kuasa Umno tetapi berselindung di sebalik agenda mempertahankan Melayu.
Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad mendakwa, NGO seperti kumpulan pendesak Melayu PERKASA, Jalur Tiga (JATI), dan Jaringan Melayu Malaysia (JMM) ditubuhkan semata-mata untuk menentang agenda properubahan Pakatan Rakyat.
"Ini semua adalah NGO ultra-Melayu yang hendak mempertahankan kepimpinan Umno," dakwanya.
Dakwaan itu dibuatnya ekoran tiada sebarang tindakan dari polis terhadap pengerusi JMM, Azwandin Hamzah yang didakwanya pernah mengikuti latihan menyertai demonstrasi di Indonesia sewaktu bersama PKR.
Beliau percaya kenyataan itu dibuat Azwandin untuk memberikan gambaran bahawa himpunan BERSIH yang akan berlangsung esok bertujuan menggulingkan pemerintah.
"Yang peliknya polis tidak ambil tindakan terhadapnya. Kalaulah dia tak ada apa-apa tajaan Umno, tentulah polis sudah mengambil tindakan," katanya pada sidang media di pejabat beliau di Shah Alam.
Beliau menyeru orang-orang Melayu menolak kepimpinan NGO itu yang menurutnya tidak boleh dipercayai dan agak 'meragukan'.
Dalam sidang media sama, beliau turut mengingatkan orang Melayu agar tidak menyokong penipuan daftar pemilih semata-mata untuk mengekalkan kuasa politik Melayu seperti didakwa sesetengah pihak.
"Ia tiada kena mengena untuk menyelamatkan politik Melayu.
"Kuasa politik Melayu tetap akan kekal. Pakatan Rakyat hanya mahu menukar pemimpin politik Melayu yang tidak amanah dengan pemimpin Melayu yang amanah," katanya.
