Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
HKL rawat 63 peserta perhimpunan, 2 anggota polis
Diterbitkan:  Apr 28, 2012 10:17 PM
Dikemaskini: 4:20 PM

Hospital Kuala Lumpur (HKL) menerima 63 pesakit yang menjadi peserta perhimpunan di ibunegara hari ini.

    

Ketua Jabatan Kecemasan dan Trauma HKL Prof Datuk Seri Abu Hassan Ashaari Abdullah berkata pihaknya juga merawat dua anggota polis yang cedera ringan ketika bertugas di perhimpunan itu setelah cedera di kepala dan patah gigi.

    

Daripada jumlah 65 orang itu, seramai 40 lelaki dan 25 wanita, kebanyakan menerima rawatan akibat kecederaan dan kepenatan ketika menghadiri perhimpunan berkenaan.

    

"Kesemua mereka berumur antara 15 tahun dan 74 tahun. Daripada 65 orang itu, tujuh dimasukkan ke dalam wad masalah pernafasan dan kepenatan. Selebihnya menerima rawatan pesakit luar," katanya kepada pemberita.  

    

Beliau berkata pihak hospital menyediakan 160 kakitangan dan pegawai serta pelbagai kemudahan termasuk makanan kepada pesakit berkenaan.

Dalam perhimpunan itu, polis berjaya menghalang percubaan peserta untuk menceroboh Dataran Merdeka dengan merempuh pengadang dan kawat berduri dipasang selepas Mahkamah Majistet mengisytiharkan dataran itu sebagai kawasan larangan mulai hari ini sehingga 1 Mei.   

    

Di Melaka, beberapa anggota Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) mengalami kecederaan ringan ketika menjalankan tugas di Perhimpunan yang sama di Dataran Pahlawan, Bandar Hilir.

     

Ketua Polis Melaka Datuk Chuah Ghee Lyle berkata kejadian tersebut berlaku ketika petugas MBMB dan polis menghalang peserta perhimpunan itu yang dikhuatiri mengganggu pertandingan pancaragam di dataran tersebut.

- Bernama

ADS