Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pemuda PAS dakwa ada bukti polis belasah peserta
Diterbitkan:  Apr 29, 2012 11:21 AM
Dikemaskini: 4:02 AM

Dewan Pemuda PAS Selangor mendakwa mempunyai bukti video dan gambar yang didakwa menunjukkan keganasa polis dalam menangani peserta perhimpunan BERSIH 3.0 yang berlangsung semalam di ibu kota.

Ketuanya Hasbullah Mohd Ridzwan berkata, pergerakan itu kini sedang bersedia untuk mengambil tindakan susulan ke atas kerajaan dan anggota polis berkenaan berdasarkan bukti berkenaan.

"Dewan Pemuda PAS negeri Selangor mempunyai pembuktian secara video dan bergambar yang menunjukkan siri keganasan pihak PDRM membelasah peserta himpunan aman BERSIH 3.0.

"(Pemuda PAS Selangor) bersedia untuk mendedahkannya sekiranya pihak PDRM masih lagi mahu berbohong tentang suasana yang berlaku semasa kejadian tersebut.

"Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor juga akan berbincang dengan pihak peguam sekiranya boleh diambil sebarang tindakan susulan terhadap pihak polis dan kerajaan berdasarkan pembuktian tersebut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau yang mengutuk keras "tindakan ganas dan keterlaluan" polis itu mengesali kejadian melibatkan kenderaan polis yang didakwa melanggar peserta perhimpunan.

"Kejadian kenderaan polis digunakan untuk melanggar peserta himpunan BERSIH 3.0 adalah satu tindakan provokasi pihak polis yang paling tidak beradab dan amat-amatlah dikesali," katanya lagi.

Beliau berkata demikian dengan merujuk insiden yang berlaku pada anggaran jam 4.19 petang di Jalan Tuanku Abdul Rahman berhubung tindakan orang ramai menterbalikkan kereta polis selepas ia didakwa melanggar peserta di situ.

"Pihak PDRM masih lagi tidak mengambil pengajaran daripada kejadian semasa himpunan aman BERSIH 2.0 yang menyaksikan pihak polis telah didapati tidak profesional dalam menangani peserta himpunan tersebut," kata Hasbullah lagi dalam satu kenyataan.

ADS