Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PERKASA desak bertindak pada 'kepala-kepala' BERSIH
Diterbitkan:  May 5, 2012 11:01 PM
Dikemaskini: 3:02 PM

Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) mahu kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap penganjur perhimpunan di ibu negara Sabtu lepas dan tidak hanya mengenakan hukuman ke atas

peserta perhimpunan itu.

Presiden PERKASA Datuk Ibrahim Ali berkata penganjur perhimpunan tidak termasuk dalam senarai individu yang diburu polis bagi membantu siasatan berhubung kekacauan yang berlaku pada perhimpunan tersebut.

"Apa pun yang penting ketika ini ialah mengambil tindakan dan mendakwa kepala-kepalanya seperti Ambiga (Datuk S Ambiga), Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan lain-lain. Ini yang selalu dikatakan rakyat, ikan bilis kena, jerung terlepas," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ibrahim berkata majoriti rakyat akan hilang keyakinan kepada kerajaan jika tidak bertindak terhadap 'jerung' perhimpunan tersebut.

Sehubungan itu, katanya, PERKASA mendesak polis, Peguam Negara dan mereka yang terlibat supaya dikenakan hukuman tegas dan mendakwa penganjur perhimpunan itu ke mahkamah.

Polis setakat ini telah mengedarkan 91 gambar individu yang boleh membantu siasatan berhubung insiden kekecohan dan keganasan semasa perhimpunan 28 April lepas.

Ibrahim berkata mengambil kira kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bahawa perhimpunan pada Sabtu lepas bertujuan untuk mengguling kerajaan yang dipilih melalui demokrasi secara haram, ia adalah amat serius.

"Anggapan rakyat Malaysia telah matang yang mendorong pemansuhan ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) adalah tidak tepat.

"Mekanisme pencegahan sebelum nasi jadi bubur atau nyawa rakyat yang tidak berdosa menjadi korban, sudah tidak ada lagi.

"Yang ada menghukum yang melakukan kesalahan melalui mahkamah. Tugas pendakwa raya membukti tanpa ragu. Jika tidak yang dituduh terlepas.

"Akta Dadah yang membawa hukuman mandatori gantung sampai mati tidak juga membawa keinsafan kepada penjahat-penjahat yang terbabit," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS