Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Seramai 16 peneroka Felda gugusan Jengka, Pahang membantah keahlian Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad dalam Koperasi Permodalan Felda (KPF).

Bantahan itu didengar tiga orang panel rujukan pertikaian Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) pagi tadi.

azlan Peguam mewakili peneroka berkenaan, Mohd Nizam Ramli memberitahu bantahan itu dibuat susulan teguran SKM kepada KPF kerana gagal mematuhi Fasal 11 Undang-undang Kecil Koperasi Permodalan Felda Berhad berkaitan syarat-syarat keahlian.

Menurutnya, keahlian Isa dalam KPF tidak sah kerana beliau tidak memenuhi empat syarat keahlian di bawah fasal itu.

Fasal 11 itu menetapkan hanya peneroka, atau isteri atau anaknya, kakitangan Felda dan koperasi Felda atau koperasi kakitangan Felda layak menjadi ahli KPF, katanya.

"Kita maklumkan kepada panel bahawa Isa Samad tidak mematuhi perkara ini," kata Nizam.

Bercakap lanjut, beliau yakin keahlian Isa Samad akan dibatalkan SKM kerana peruntukan undang-undang sedia ada jelas berkenaan syarat-syarat keahlian.

"Kita yakin, kemenangan jelas, Isa tiada kelayakan (menjadi ahli)," katanya.

Menurutnya lagi, SKM akan memaklumkan hasil pendengaran rujukan pertikaian itu dalam jangka masa terdekat ini.

Seorang wakil dari ahli lembaga KPF yang enggan dinamakan dan bertindak sebagai responden dalam kes ini menjelaskan bahawa Isa diterima menjadi ahli sebelum ini kerana KPF 'terlepas pandang' akan syarat keahlian itu.

Selain keahlian dalam KPF, pelantikan Isa Samad sebagai pengerusi Felda sebelum ini turut dibantah ramai pihak.

ADS