Tindakan mengenakan bayaran sama untuk tol di Lebuh Raya Persekutuan pada setiap masa tindakan yang kejam kerana ia sentiasa sesak, kata NGO Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM).
NGO yang rapat dengan Pakatan Rakyat itu berkata, kesesakan di laluan itu sampai ke tahap melampau sehingga pemandu kenderaan terpaksa berbaris sangat panjang untuk membayar di Tol Batu Tiga.
"Tujuan membina lebuhraya adalah untuk memudahkan, tetapi apa yang berlaku sangat menyusahkan rakyat.
"Walaupun tersekat beberapa jam, bayaran tolnya tetap sama dan ini adalah kejam kerana ia berlaku setiap hari!" kata SAMM dalam kenyataan hari ini.
Pakatan Rakyat Selangor mahu menjadikan 13 Mei ini sebagai "tarikh pepaduan" pelbagai kaum dengan menganjurkan perhimpunan menuntut pemansuhan tol Batu Tiga dan Sungai Rasau.
Ahli parlimen Shah Alam Khalid Samad berkata pemansuhan tol itu janji Pakatan dalam pilihan raya umum 2008 dan pihaknya mahu memberi tekanan kepada Pusat untuk tujuan itu.
