Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Ahli parlimen Shah Alam Khalid Samad berkata Pakatan Rakyat tidak membentuk 'kabinet bayangan' kerana tidak mahu mengalihkan isu dan pandangan rakyat kepada membicarakan perkara yang lebih besar.

Ahli jawatankuasa Pusat PAS itu berkata pembentukan kabinet itu "ada pro dan kontra" tetapi tindakan itu dibuat bagi mengelakkan ia menjadi mainan politik Umno.

"Kita kata Datuk Seri Anwar Ibrahim jadi perdana menteri, nanti disebut gila kuasa. Dilantik pula (ahli parlimen Pakatan) jadi menteri itu dan ini, Umno kata kita gila jawatan, agih-agih jawatan," katanya.

Sebaliknya, kata Khalid, apa yang menjadi perkara pokok dan terpenting bagi gabungan parti itu adalah "bukan siapa yang memegang jawatan, sebaliknya apa dasar yang ingin dilaksanakan".

"Kita mahu perbahasan tentang dasar. Kita tidak mahu alih isu yang sebenar... Nanti ada pembunuhan watak (kepada ahli parlimen Pakatan)," tegasnya.

Ketika ini, Pakatan menguasai 79 kerusi parlimen, setelah beberapa ahli parlimen Pakatan yang melompat dan menjadi ahli bebas.

Penganalisis: Sistem tidak menggalakkannya

Khalid menjawab soalan hadirin mengapa Pakatan Rakyat tidak dalam forum anjuran akhbar akhbar web DAP Roketkini.com yang bertajuk "Melayu, Islam dan DAP" di Dewan Annex, Shah Alam petang semalam.

Turut hadir sebagai panelis adalah setiausaha politik kepada setiausaha agung DAP Zairil Khir Johari, pensyarah Dr Maszlee Malek dan Ketua Eksekutif Institut Hal Ehwal Ekonomi dan Demokrasi (IDEAS) Wan Saiful Wan Jan.

Mengulas lanjut, Khalid berkata gabungan itu akan memikirkan tokoh yang sesuai untuk memegang jawatan tertentu dalam kabinet sekiranya mereka menang dalam pilihan raya umum akan datang.

Sementara itu, Wan Saiful dan Zairil pula bersetuju dengan pandangan Khalid yang juga timbalan pesuruhjaya PAS Selangor mengenai perkara tersebut.

Malah Wan Saiful yang juga pemerhati politik berkata beliau akan berlakunya perebutan jawatan sekiranya penubuhan kabinet tersebut dibuat.

"Ia menjadi bebanan dan tidak ada peruntukkan untuk membentuk satu kabinet bayangan... Sistem kita tidak menggalakkan penubuhan kerana (tiada) debat rasional dalam suasana politik," katanya.

Manakala Dr Maszlee pula bersetuju dengan pandangan Wan Saiful bahawa "tiada peruntukan dan tidak ada natijah" yang membolehkan Pakatan menubuhkan kabinet bayangan.

ADS