Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Selain menyampaikan ucapan perasmian kepada hampir 100,000 hadirin sempena Ulangtahun Umno ke-66, Presidennya, Datuk Seri Najib Razak turut mengambil kesempatan membuat 'serangan' terhadap perhimpunan BERSIH 3.0.

Tanpa menyebut nama perhimpunan yang berlaku pada 28 April itu, Najib berkata, Umno merupakan sebuah parti yang menghormati undang-undang.

Malah, Najib turut mencabar supaya penganjur perhimpunan BERSIH mengadakan perhimpunan di dalam sebuah stadium.

"Kita berhimpun dalam stadium ini secara aman. Kita berhimpun secara tertib. Kita berhimpun kerana Umno hormati undang-undang negara... Kalau Umno boleh berhimpun dalam stadium kenapa ada pihak lain tak boleh?

"Kalau nak tunjuk kekuatan, tunjuklah macam mana Umno berhimpun hari ini... berkumpullah macam Umno berkumpul malam ini," katanya sambil mendapat sorakan hadirin.

Selain itu, Najib turut mengulas mengenai pengguguran Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Ibrahim sebagai anggota Dewan Negara kerana mengkritik penganjuran BERSIH.

Tanpa menyebutkan nama secara khusus, Najib berkata, terdapat sebuah parti yang tidak menyambung jawatan pemimpinnya sebagai senator kerana berbeza pendapat.

Malah beliau menyifatkan bahawa parti tersebut bukanlah sebuah parti yang demokrasi.

"Cakap sikit tak boleh. Tegur sikit tak boleh. Bila ada pemimpin mereka kata buat demonstrasi jalanan tak baik untuk negara, lebih elok berhimpun dalam stadium, jawatan dia sebagai senator tidak disambung semula.

"Kata parti demokratik. Di mana demokratik? Parti yang nama demokratik tetapi tak ada demokrasi," katanya.

Disebabkan memberi kenyataan yang mengkritik perhimpunan BERSIH 3.0, anggota Dewan Negara milik Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Ibrahim digugurkan.

Sementara itu, Najib turut memberi 'sindiran' tanpa menyebutkan siapakah individu yang disebutnya.

Berdasarkan kenyataannya itu, Najib dipercayai merujuk kepada Timbalan PKR, Azmin Ali.

"Bila seorang pemimpin mereka tidak peduli langsung ibu kandungannya sendiri, Umno juga yang nak dipersalahkan. Hebat benar Umno ini. Dalam bilik tidur, dalam kelambu pun kita boleh tentukan.

"Banyak persoalan lain yang tak dijawab lagi," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS